Selasa, 27 March 2018 | 7:00pm
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KDN, Imigresen tidak lantik ejen banci warga asing

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) tidak pernah mengeluarkan arahan atau melantik mana-mana syarikat untuk menguruskan bancian warga asing serta menguruskan kebajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat program bancian dan kegiatan mendaftarkan kad kebajikan untuk warga asing.

Beliau berkata, kegiatan itu semakin aktif kebelakangan ini, malah Jabatan Imigresen menerima aduan daripada majikan dan orang ramai yang mengesyaki ditipu oleh ejen NGO yang melakukan kegiatan mendaftar kad kebajikan dengan bayaran tertentu, namun fungsi kad itu tidak seperti dijanjikan.

"Jadi, kita mengingatkan majikan dan orang ramai, hanya i-kad tulen dan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sahaja yang diiktiraf.

"Pada masa sama, kita tidak memperakui dan tidak mengiktiraf sebarang kad kebajikan, kad imigran dan kad lain selain i-kad yang dikeluarkan jabatan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mengikut Seksyen 56(1)(d), Akta Imigresen 1959/63 ada memperuntukkan kesalahan individu yang didapati melindungi PATI di negara ini.

Katanya, pesalah bagi kes berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 bagi setiap PATI yang dilindungi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Sehubungan itu, Mustafar berkata, orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa menjalankan program bancian atau mendaftarkan kad kebajikan.

"Sebarang kutipan wang bagi pengeluaran pas secara tidak teratur boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

i-kad diwartakan pada 22 Februari lalu dan ia boleh digunakan sebagai satu pengenalan diri yang membuktikan pemegangnya memiliki pas sah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen selaras dengan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu Pas Penggajian, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Tanggungan, Pas Pelajar, Pas Kerja (Sabah) dan Pas Residen.

Selain itu, i-kad juga dinaik taraf dengan format baharu dan ciri keselamatannya dipertingkatkan bagi mengelakkan pemalsuan dan salah guna kad.

Ia juga dilengkapi cip biometrik versi baharu dan nombor pengenalan diri kekal supaya diiktiraf oleh semua agensi penguatkuasaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X