Selasa, 27 March 2018 | 7:45pm
BEKAS Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua, dari kanan) menerima Anugerah Sepanjang Hayat Bapa Pembangunan Modal Insan daripada Pengarah ASLI Tan Sri Razman M. Hashim (dua, kiri) pada '3rd Tun Abdullah Ahmad Badawi Human Capital Summit' hari ini.Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif ASLI Tan Sri Dr Michael Yeoh (kiri). - Foto BERNAMA

Tun Abdullah dianugerahi Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini dianugerahi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Khas Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Ketua Pegawai Eksekutif ASLI , Tan Sri Dr Michael Yeoh berkata, anugerah itu bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan dan komitmen Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai 'Pak Lah' dalam membangunkan modal insan sepanjang menjadi perdana menteri dan sebelum itu sebagai menteri pendidikan.

Mengikut Laporan Modal Insan 2017 oleh Forum Ekonomi Dunia, Yeoh berkata pembangunan modal insan Malaysia menduduki tempat kedua di Asia Tenggara dan ke-33 di dunia, dan menurutnya pembangunan modal insan sentiasa menjadi teras sepanjang tempoh Abdullah menjadi perdana menteri dan malah sebelum itu semasa beliau berkhidmat sebagai menteri pendidikan.

"Pembangunan modal insan ini akan membawa Malaysia ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya pada edisi ketiga Sidang Kemuncak Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini.

Abdullah dan isterinya Tun Jeanne Abdullah antara tetamu yang hadir pada majlis itu. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Presiden Alumni Sekolah Tinggi Bukit Mertajam Datuk S. Kulasegaran.

Sementara itu, Khairy berkata, semasa menjadi perdana menteri, Abdullah telah melakukan banyak usaha bagi pembangunan universiti dan kolej swasta, menaik taraf sekolah-sekolah serta institut-institut latihan perguruan kerana beliau percaya pemupukan generasi muda dengan kemahiran, latihan dan nilai murni akan membolehkan mereka untuk berjaya dalam landskap yang semakin kompetitif.

"Bagi Pak Lah, modal insan bukan sekadar dalam bentuk pembelajaran sahaja. Beliau menunjukkan bahawa modal insan juga adalah tentang nilai-nilai, kepercayaan, integriti, institusi dan kesaksamaan. Beliau percaya (bahawa) tanpa nilai-nilai murni, infrastruktur moden atau kelas pertama akan kekal lompang.

"Keyakinan beliau terhadap Islam menjadi asas kepada nilai-nilai berkenaan. Beliau berusaha menjelaskannya mengikut kaedah sejagat menerusi Islam Hadhari. Tiada individu secara sendirian boleh meneruskannya untuk selama-lamanya dan setiap perkara perlu diinstitusikan untuk generasi masa depan," katanya.

Khairy berkata, Pak Lah sering memberitahunya bahawa beliau mahu semua rakyat Malaysia khususnya belia di setiap kawasan dapat menikmati akses kepada pendidikan berkualiti, dan menurutnya sebab itu kenapa Pak Lah memulakan pembangunan koridor-koridor di selatan, utara, pantai timur, Sabah dan Sarawak kerana beliau percaya pembangunan bertumpu di pusat bandar seperti Lembah Klang, adalah tidak adil.

Siri Sidang Kemuncak Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi bertujuan menghargai perdana menteri kelima itu atas keprihatinan beliau terhadap pendidikan, modal insan dan infrastruktur insaniah negara.

Ia juga berobjektif untuk membantu organisasi dan rakyat untuk menyesuaikan dan meningkatkan produktiviti mereka dengan memberi tumpuan pada Revolusi Perindustrian Keempat, Era Gangguan Perubahan dan TN50. - BERNAMA

Berita Harian X