Selasa, 27 March 2018 | 10:52pm
AMMAR Roslizar (kiri) dan Ammar Shahrin yang mengasaskan bersama agensi pelancongan, ARBA Travel&Tours Sdn Bhd, tersenarai dalam Senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018.
AMMAR Roslizar (kiri) dan Ammar Shahrin yang mengasaskan bersama agensi pelancongan, ARBA Travel&Tours Sdn Bhd, tersenarai dalam Senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018.

7 wakil Malaysia dalam Forbes Under 30 Asia 2018

KUALA LUMPUR: Tujuh wakil Malaysia, terdiri daripada syarikat dan individu tersenarai dalam tujuh daripada 10 kategori dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018 yang diumumkan hari ini.

Mereka tersenarai di antara 300 syarikat atau individu berusia bawah usia 30 tahun, yang berjaya dalam bidang masing-masing di Asia.

Antara rakyat Malaysia yang berjaya tersenarai dalam senarai tahunan yang kini memasuki tahun ketiga itu ialah Ammar Roslizar, 28, dan Ammar Shahrin, 29, yang mengasas bersama agensi pelancongan, ARBA Travel & Tours Sdn Bhd.

Mereka tersenarai dalam Kategori Runcit dan E-Dagang.

Penyanyi yang sedang mencipta nama di China, Shila Amzah, 27, turut tersenarai dalam Kategori Hiburan dan Sukan.

Bagi Kategori Teknologi Enterprise, Pengarah Pengembangan bagi Australia dan New Zealand, NEMio Foundation, Jason Lee, 30; Pengasas Zahara, Amira Geneid, 25, (Seni); Pengasas FatHopes Energy, Vinesh Sinha, 29, dalam kategori Industri, Pengeluaran dan Tenaga.

Untuk kategori Modal Teroka dan Kewangan, Pengasas bersama PolicyStreet iaitu Wilson Beh, 27, dan Winnie Chua, 29 dan Pengasas The Picha Project iaitu Lee Swe Lin, 24, Lim Yuet Kim, 27, dan Ling Sook Shian, 25 tersenarai dalam Kategori Usahawan Sosial.

Malaysia bagaimanapun tidak mempunyai wakil dalam senarai kategori Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Teknologi Pengguna dan Sains dan Penjagaan Kesihatan.

Pada tahun lalu, usahawan dan selebriti Neelofa serta Vivy Yusoff berada dalam senarai berkenaan.

Berita Harian X