Rabu, 28 March 2018 | 11:22am
MOHAMAD Ridzuan mengayuh basikal roda tiga yang direka khas untuknya ke beberapa buah kampung bagi menjual ikan masin, ais krim Malaysia dan kuih siput. - Foto Noorazura Abdul Rahman
MOHAMAD Ridzuan yang cacat fizikal di bahagian kaki tidak pernah menjadikannya sebagai penghalang untuk berdikari mencari rezeki. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Cacat bukan penghalang berdikari

ALOR SETAR: Berjalan dan bekerja dengan hanya menggunakan kudrat tangan, seorang pemuda Sindrom Down yang juga cacat fizikal di bahagian kaki tidak pernah menjadikannya sebagai penghalang untuk berdikari mencari rezeki.

Setiap hari pada jam 4 petang, Mohamad Ridzuan Khalid, 29, dari Kampung Padang Kunyit, Mukim Telaga Mas di sini akan mengayuh basikal roda tiga yang direka khas untuknya ke beberapa buah kampung bagi menjual ikan masin, ais krim Malaysia dan kuih siput.

Beliau mengakui lebih senang melakukan kerja itu biarpun terpaksa mengerah kekuatan tangannya ke tahap maksimum demi sesuap nasi.

"Sejak tahun lalu saya terfikir untuk mencari rezeki sendiri daripada terus mengharapkan bantuan orang, mujurlah penduduk kampung ini prihatin dengan nasib saya dan mereka mengumpulkan dana bagi mencipta sebuah basikal roda tiga yang dapat dikayuh dengan tangan serta membawa barang jualan.

"Saya kayuh dari kampung ke kampung, yang paling laris ialah aiskrim Malaysia terutama pada musim panas, kadang-kadang saya hanya dapat menjual kira-kira RM4 sehingga RM20 sehari dan ada kalanya pulang dengan hampa," kata anak tunggal itu.

Beliau kini berhasrat untuk memiliki sebuah motosikal roda tiga bagi menjual barangannya ke tempat yang lebih jauh selain memudahkan pergerakan berikutan kerap sakit badan dan tangan kerana mengayuh basikal.

"Saya perlukan sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan saya, setiap kali kayuh basikal, habis seluruh badan akan sakit terutama bahagian bahu dan tangan.

"Selain itu, saya tidak mahu terlalu bergantung kepada saudara mara, mereka sudah banyak membantu sejak saya kecil, dengan adanya motosikal sekurang-kurangnya saya dapat bergerak sendiri ke mana sahaja," katanya.

Bercerita lanjut, Mohamad Ridzuan sangat bersyukur dibesarkan dengan baik oleh ibunya, Rodziah Nik Cha, 53, yang juga OKU (lembam) selepas berpisah dengan bapanya sejak kecil.

Katanya, walaupun menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, beliau tetap mahu bekerja bagi mengumpul sedikit simpanan untuk digunakan semasa kecemasan atau sakit.

"Pada awal tahun ini juga saya mula ke sekolah pendidikan khas, walaupun umur saya sudah menjangkau 30-an, saya mahu belajar membaca seperti orang lain kerana saya tidak berpeluang ke sekolah semasa kecil akibat dihimpit kemiskinan.

"Setiap hari saya akan ke sekolah bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari, kini saya baru hendak mengenali huruf A, B, C, saya terpaksa buang perasaan malu dan berharap dapat membaca suatu hari nanti, saya mahu menjadi contoh kepada OKU lain supaya tidak mudah menyerah kepada nasib." katanya.

Berita Harian X