Sabtu, 31 March 2018 | 4:06pm

Penjara perlu jadi pusat pemulihan - TPM

TAPAH: Stigma masyarakat terhadap penjara perlu diubah yang mana ia bukan hanya untuk menghukum tetapi sebagai pusat pemulihan yang turut memberi akses pendidikan dan pencapaian akademik kepada banduan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara dasarnya penjara memang tempat menghukum, tetapi jika hukuman tidak menyebabkan pemulihan dan banduan tidak kembali menjadi anggota masyarakat, ertinya koreksional yang dijalankan gagal.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemulihan perlu dilakukan kerana tidak mahu penjara menjadi 'sekolah' untuk belajar jenayah.

Ia bermaksud mereka yang melakukan jenayah ringan, belajar di penjara melakukan jenayah berat daripada banduan yang melakukan kesalahan lebih berat sekali gus menyebabkan masyarakat akan menerima 'graduan' yang keluar penjara dan melakukan jenayah lebih berat.

"Walaupun tujuan penjara itu sebagai tempat hukuman (namun) pada waktu sama apabila usaha pemulihan tidak dilakukan dengan hati tetapi hanya dengan pemikiran maka berlakulah masalah kesalahan berulang oleh banduan.

"Di Malaysia kita lakukan pelbagai program pemulihan termasuk Program Pemulihan Permasyarakatan (CRP), pelaksanaan sistem parol dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-228 dan Hari Antidadah Kebangsaan ke-35 di Arena Merdeka, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin .

Ahmad Zahid berkata, Jabatan Penjara juga melakukan beberapa perubahan seperti mewujudkan maahad tahfiz untuk banduan.

"Maahad tahfiz ini bukan untuk warden atau pegawai penjara tetapi untuk banduan supaya mereka yang menjalani hukuman lama boleh belajar dan menghafal al-Quran dan adalah mustahil kalau dah hafiz akan buat jenayah lagi," katanya.

Beliau berkata, di Johor banduan yang menghafal 30 juzuk al-Quran turut diberi elaun oleh kerajaan negeri sebanyak RM1,000 sebulan dan apabila selesai menjalani hukuman diberikan jawatan sebagai imam masjid serta diberi elaun lain pula.

Ahmad Zahid berkata, peningkatan taraf akademik dalam kalangan pesalah muda dan juvana juga sentiasa ditambah baik.

Katanya, ia terbukti dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 apabila 92.3 peratus atau 144 daripada 156 calon pesalah juvana layak mendapat sijil.

"Dalam keputusan itu, ada pelajar (pesalah juvana) dapat 9A, seorang 8A 2B, seorang dapat 7A 1B dan dua lagi dapat 6A serta 62 calon mendapat sekurang-kurangnya 1A.

"Kita harap keputusan ini akan turut meningkatkan jumlah pesalah yang akan menyambung pelajaran di peringkat pengajian tinggi berbanding, 41 orang ketika ini iaitu dua banduan sedang mengikuti kursus doktor falsafah (PHD), tiga sarjana, 13 ijazah dan 23 lagi di peringkat diploma," katanya.

Beliau berkata, minda masyarakat menjurus banduan dan penagih hanya perlu dihukum, namun kerajaan mengambil pendekatan baharu dengan melaksanakan koreksional atau pemulihan.

"Pendekatan kita adalah menukar liabiliti kepada aset ertinya kalau sebelum ini banduan dan penagih dianggap sebagai sampah masyarakat dan kini kita jadikan mereka sebagai aset pula.

"Dalam keadaan ini dengan sistem koreksional Jabatan Penjara yang saya berikan perhatian khusus, kita hendak tukar Jabatan Penjara menjadi Jabatan Koreksional Negara dan akan menjadi jabatan koreksional terbaik di dunia.

"Oleh itu, kita harus ubah minda dan memberi peluang kedua kepada banduan dan penagih yang sudah dipulihkan supaya negara menjadi masyarakat sifar dadah dan sifar jenayah satu hari nanti," katanya.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan watikah pelantikan pegawai kehormat Jabatan Penjara kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-228 dan Hari Antidadah Kebangsaan ke-35 di Arena Merdeka, di Tapah, hari ini. Turut sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua dari kanan); Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim (tiga dari kiri) dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar (kiri). - Foto Effendy Rashid
Berita Harian X