Sabtu, 31 March 2018 | 6:12pm
NOH berkata PR1MA tidak berfungsi seperti syarikat swasta yang mementingkan keuntungan bagi setiap projek perumahan yang dibina. - Foto Asyraf Hamzah

Jangan perkecil usaha PR1MA

KUALA LUMPUR: Tiada pihak yang wajar memperkecilkan usaha Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kediaman mampu milik termasuk yang dilaksanakan menerusi Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata PR1MA tidak berfungsi seperti syarikat swasta yang mementingkan keuntungan bagi setiap projek perumahan yang dibina.

"Jangan ingat PR1MA ini syarikat swasta. Syarikat swasta hanya nak untung.

"PR1MA tak dapat untung malah kerajaan bagi lagi duit supaya projek berjalan lancar.

"Kita bukannya guna teori dan janji kosong semata tetapi kita tepati dan laksanakan janji," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian insentif perumahan KPKT dan menandatangani perjanjian jual beli PPR di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N Jayaselan.

Noh berkata, rakyat sepatutnya membandingkan konsep projek Residensi Kerinchi yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) dan projek Datum Jelatek yang dijalankan Kerajaan Selangor.

"Kita runtuhkan rumah lama PKNS dan bina baru supaya penduduk setempat mendapat kediaman yang selesa.

"Berbeza dengan projek Datum Jelatek, penduduk hanya diberikan pampasan dan tapak rumah mereka dibina dengan kediaman baharu yang tak mampu dibeli penduduk setempat.

"Pembangkang ini setakat nak cakap bolehlah, tapi bila mereka yang memerintah, pelaksanaannya akan merugikan rakyat," katanya.

Sementara itu, 270 pemohon menerima kediaman PPR berkonsepkan 'Rent-To-Own' (RTO) manakala 168 pemohon mendapat insentif MyHome.

Selain itu, 581 pemohon menerima skim MyDeposit, 118 pemohon mendapat Skim Pinjaman Perumahan (SPP) serta 138 pemohon menerima kelulusan menduduki Rumah Transit 1Malaysia (RT1M).

Berita Harian X