Ahad, 1 April 2018 | 11:34pm
AMIR Fakhry (kiri) dan Soo gembira aktiviti anjuran persatuan mereka mendapat sambutan bukan saja dari pelajar malah rakyat Malaysia dan Jepun. - Foto Faiza Zainudin
ANTARA pelajar dan rakyat Malaysia yang menyertai aktiviti Hanami Sakura di Taman Yoyogi, Tokyo, hari ini. - Foto Faiza Zainudin
ANTARA rakyat Jepun yang turut menyertai aktiviti Hanami Sakura anjuran persatuan pelajar Malaysia di Jepun hari ini. - Foto Faiza Zainudin

Rakyat Malaysia sertai aktiviti Hanami Sakura

TOKYO: Hampir 150 rakyat Malaysia pelbagai kaum menyertai aktiviti Hanami Sakura di Taman Yoyogi, dekat sini, anjuran tiga persatuan pelajar Malaysia di Jepun, hari ini.

Aktiviti tahunan itu anjuran bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ), Persatuan Pelajar Program Pendidikan Tinggi Malaysia Jepun (Persatuan MJHEP) dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) Jepun.

Presiden MSAJ, Soo Zhen Ian berkata program yang dilaksanakan setiap musim bunga sejak 1980an terus mendapat sambutan bukan sahaja dari pelajar malah rakyat Malaysia yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

"Seramai 120 ahli persatuan kami menyertai aktiviti hanami iaitu berkelah di bawah pokok sakura sambil menjamu selera dan menikmati keindahan bunga sakura yang bakal berakhir tidak lama lagi.

"Kehadiran amat menggalakkan dan di luar jangkaan sehingga makanan tidak mencukupi, ada juga ahli yang datang dari jauh semata-mata untuk bertemu rakan-rakan di sini," katanya kepada BH.

Sementara itu, Presiden Persatuan MJHEP, Amir Fakhry Zulkhibri berkata program tradisi itu turut mendapat perhatian masyarakat Jepun dan rakyat negara luar lain termasuk Jordan dan Britain.


ANTARA pelajar dan rakyat Malaysia yang menyertai aktiviti Hanami Sakura di Taman Yoyogi, Tokyo, hari ini. - Foto Faiza Zainudin

Beliau berkata kebanyakan mereka berminat terhadap Malaysia dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tempat menarik serta budaya negara.

"Selain menyediakan makanan dan minuman percuma untuk aktiviti hanami ini, pihak kami juga turut mengadakan acara sukaneka termasuk permainan 'bingo' sebagai hiburan kepada ahli dengan menawarkan hadiah menarik," katanya.

Bagi Setiausaha KULN Jepun, Nadya Nabila Nazlee berkata acara santai sedemikian dapat membantu merapatkan hubungan antara sesama pelajar terutama pelajar baru.

"Pada masa sama, membantu pelajar yang bakal tamat pengajian meneroka peluang pekerjaan dan berkongsi pengalaman dengan mereka yang sudah bekerja di sini," katanya.

Berita Harian X