Isnin, 2 April 2018 | 12:44pm
DATUK Seri Mustapa Mohamed.- Foto NSTP
DATUK Seri Mustapa Mohamed.- Foto NSTP

PARLIMEN: Risiko jika batal projek dengan China - Mustapa

KUALA LUMPUR: Hasrat pakatan harapan (PH) yang mahu mengkaji semula termasuk akan membatalkan projek mega negara yang dilaksanakan dengan syarikat China jika mendapat kuasa hanya akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara kuasa besar ekonomi dunia itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata perancangan PH yang terkandung dalam manifesto mereka itu juga akan menjejaskan industri sawit dan getah negara, sekali gus mempengaruhi kehidupan peneroka FELDA yang terbabit secara langsung dengan komoditi itu.

Katanya, pendekatan PH itu amat berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang komited akan meneruskan kerjasama dan hubungan dagang dengan China kerana menyedari manfaat yang akan diraih negara untuk jangka masa panjang.

"Kita (kerajaan BN) amat bimbang dengan janji atau manifesto PH yang mahu semua projek mega dijalankan dengan China akan dikaji semula.

"Jika itu dilakukan seperti hendak kaji semula seperti Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan taraf Pelabuhan Kuantan, pelaburan projek tenaga solar di Melaka dan Pulau Pinang serta projek di Sarawak, akan menjejaskan hubungan dengan China.

"Ia akan menjejaskan industri sawit dan getah negara dan peneroka FELDA. Oleh amat wajar menjalin hubungan lebih baik dengan China kerana mendatangkan banyak faedah kepada negara termasuk mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) apakah kerajaan membuat analisis kepentingan negara untuk inisiatif One Belt One Road pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

PH sebelum ini pernah mengisytiharkan akan menilai semula kontrak yang dimeterai negara dengan syarikat asing jika berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang terutama bagi kontrak yang membabitkan aset strategik negara.

Sementara itu, Mustapa berkata, Malaysia menjadi negara penyokong kuat inisiatif OBOR kerana China adalah negara mempunyai saiz ekonomi yang kedua terbesar selepas Amerika Syarikat (AS) dan mencatatkan rekod sebagai negara mengalami pertumbuhan ekonomi tertinggi selama 20 tahun.

"China mempunyai syarikat besar dalam e-dagang seperti Huawei yang menubuhkan pusat operasi perkhidmatannya di negara ini dengan memberi khidmat kepada 100 negara dalam bidang pemasaran dan sokongan teknikal.

"China juga rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia yang mana pada tahun lepas berkembang sebanyak 20.6 peratus tahun lalu. Jumlah eksport negara ke China juga meningkat 28 peratus.

"Maka kita menyokong inisiatif itu kerana manfaatnya yang akan diraih untuk pembangunan ekonomi negara dan rakyat secara keseluruhan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X