Isnin, 2 April 2018 | 6:24pm

Fi pemandu dan kenderaan warga asing naik

BATU PAHAT: Kadar pendaftaran kenderaan persendirian, tukar hak milik dan fi lesen memandu bagi warganegara asing dinaikkan antara 50 hingga 200 peratus berkuatkuasa 16 April ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata kenaikan kadar berkenaan diputuskan Kabinet selepas tiada semakan kadar baharu dibuat sejak kemerdekaan negara.

Katanya, inisiatif kerajaan itu adalah bagi meningkatkan hasil pendapatan negara tanpa membebankan rakyat negara ini.

"Mulai 16 April ini kerajaan akan mula melaksanakan kadar fi atau kadar baharu membabitkan pendaftaran kenderaan persendirian, tukar hak milik kenderaan dan bayaran lesen memandu kepada warga negara asing di negara ini.

"Pelaksanaan kadar fi baharu kepada bukan warganegara itu mampu meningkatkan unjuran hasil pendapatan negara yang dianggarkan sebanyak RM 31 juta setahun.

"Inisiatif ini menunjukkan bahawa rakyat negara ini mempunyai kelebihan serta keistimewaan yang dinikmati sebagai warganegara Malaysia ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-72 Peringkat Kebangsaan, di Dataran BP Mall di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid.

Ab Aziz berkata, kadar pendaftaran motosikal 500cc ke bawah dan lebih 500cc yang sebelum ini RM5 baik di Semenanjung atau Sabah serta Sarawak masing-masing dinaikkan kepada RM100 dan RM20.

Katanya, kadar pendaftaran kenderaan selain motosikal 1,500cc ke bawah di Semenanjung yang sebelum ini RM150 dan RM60 di Sabah serta Sarawak, masing-masing naik kepada RM350 dan RM120.

"Bagi kenderaan selain motosikal 1501cc sehingga 3000cc di Semenanjung yang sebelum ini RM300 dan RM60 di Sabah serta Sarawak pula masing-masing naik kepada RM600 dan RM120.

"Manakala bagi kenderaan selain motosikal melebihi 3000cc di Semenanjung yang sebelum ini RM300 dan RM60 di Sabah serta Sarawak, masing-masing naik kepada RM900 dan RM160," katanya.

Aziz berkata, bagi kadar tukar hak milik motosikal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang sebelum ini masing-masing RM3, RM4 dan RM5, dinaikkan kepada RM20.

Bagi tukar hak milik kenderaan selain motosikal yang sebelum ini RM100 di Semenanjung dan RM40 di Sabah serta Sarawak, masing-masing dinaikkan kepada RM200 dan RM120

Bagaimanapun, bagi tukar hak milik kenderaan bukan warganegara membabitkan kenderaan orang kurang upaya (OKU) kekal percuma.

Kadar fi lesen memandu bukan warganegara bagi Kelas D yang sebelum ini RM30 untuk setahun mengalami peningkatan 50 peratus kepada RM60 dan seterusnya.

Manakala fi lesen motosikal Kelas B1 bukan warganegara yang sebelum ini RM20 setahun dinaikkan tiga kali ganda kepada RM60 setahun dan seterusnya.

Sementara itu, Aziz turut mengumumkan siri nombor pendaftaran kenderaan baharu, FB bagi Putrajaya yang boleh ditender mulai hari ini hingga 16 April.

Katanya, pelancaran siri nombor pendaftaran baharu itu atas permintaan tinggi masyarakat terhadap nombor pendaftaran Putrajaya.

"Keputusan bidaan tender untuk nombor pendaftaran FB akan diumumkan pada 14 Mei ini, malah JPJ akan melancarkan siri nombor pendaftaran baharu FC pula tahun hadapan pada hari ulang tahun JPJ dan kita akan lakukannya setiap tahun," katanya.

AB Aziz (dua dari kanan) melancarkan nombor pendaftaran kenderaan siri Putrajaya selepas melancarkan Sambutan Hari JPJ ke-72 Peringkat Kebangsaan, di Batu Pahat, hari ini. - Foto Essa Abu Yamin
Berita Harian X