Selasa, 3 April 2018 | 2:31pm

Muar kini dikenali Bandar Perabot Malaysia

MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan dan mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia berikutan nilai potensinya yang tinggi kepada negara.

Perdana Menteri berkata, selain itu beliau ingin melihat Program Skim Usahawan Perabot Bumiputera (SuperBumi) dapat melonjakkan lebih ramai usahawan dalam industri yang semakin berkembang.

Beliau berkata, ia juga penting supaya peluang berkenaan dapat dimajukan berdasarkan penyertaan semua kaum di negara ini.

"Oleh kerana saya melihat potensi industri perabot dan kayu kayan khususnya di Muar ini adalah sangat tinggi masa depan dari segi kemungkinan-kemungkinan yang dapat direaslisasikan.

"Maka saya sebut kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin), kalau kita lancarkan MFP (Muar Furniture Park) sahaja hari ini, ia tidak mencerminkan wawasan dan potensi Muar. Jadi, saya kata kenapa tidak kita lonjakkan daripada MFP ini.

"Saya dalam majlis ini ingin umumkan bahawa kerajaan mengisytiharkan Muar sebagai Furniture City of Malaysia (Bandar Perabot Malaysia). Ini adalah tawaran istinewa kepada tuan puan di Muar khususnya industri perabot di Muar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MFP Pelancaran SuperBumi di Tapak Projek MFP di Batu 81/2 Jalan Bakri di sini, hari ini.

Muar Furniture Park yang dibina di tanah seluas hampir 400 hektar hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak industri berkaitan perabot untuk memperkasakan industri itu.

Ia adalah pusat pembangunan industri perabot secara bersepadu yang menempatkan kilang perabot dengan pelbagai kemudahan utama seperti pusat pembekalan bahan mentah, pusat pameran, pusat reka bentuk dan pusat latihan.

Muar Furniture Park dijangka mampu mencatat nilai jualan sebanyak RM1.08 bilion dalam tempoh 10 tahun serta menyediakan 5,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, pada majlis sama, Najib memberitahu kerajaan akan menyiasat dana disediakan kerajaan pada Bajet 2018 yang dikatakan tidak sampai kepada pihak sasaran.

"Kerajaan sudah sediakan dalam Bajet 2018 pinjaman khas berjumlah RM100 juta untuk tujuan formasi pengeluaran perabot tempatan ke pasaran eksport.

"Bagaimanapun, saya difahamkan jumlah dana ini tidak sampai ke sasarannya dan kita akan siasat apa dia kekangan yang menyebabkan tujuan kerajaan itu tidak sampai ke sasaran berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau berharap pihak industri perabot dapat mengamalkan automasi dan penggunaan teknologi terkini bagi mengatasi masalah berkaitan pekerja asing.

"Saya tadi berada di kilang AX. Saya bincang dengan pegawai KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia). Pada masa sekarang ada nisbah-nisbah yang ditentukan.

"Tetapi masih ada gap (jurang) antara keperluan industri dengan pihak yang meluluskan dan seterusnya membawa pekerja asing. Saya turut menekankan bahawa proses automasi perlu dilakukan.

"Sebagai contoh, syarikat AX, tanpa automasi mereka memerlukan seramai 3,000 pekerja asing tetapi dengan automasi hanya memerlukan 500 sahaja (pekerja asing).

"Ini adalah satu contoh yang amat baik di mana kita dapat mengurangkan bilangan pekerja asing dengan begitu ketara," katanya.

NAJIB Razak meletakkan kayu terakhir pada kerusi gergasi ketika merasmikan Muar Furniture Park dan Program Skim Usahawan Perabot Bumiputera hari ini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga dari, kiri) dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong (dua dari kiri). - Foto BERNAMA
Berita Harian X