Selasa, 3 April 2018 | 3:58pm
DATUK Seri Hamzah Zainuddin berucap pada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 Business Lucheon di Menara PNS hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Hamzah Zainuddin berucap pada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 Business Lucheon di Menara PNS hari ini. - Foto BERNAMA

KPDNKK jamin KR1M 2.0 bebas unsur orang tengah

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 adalah bebas daripada unsur orang tengah atau kartel, sekali gus produk jualannya murah dan berpatutan untuk rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pengwujudan KR1M 2.adalah untuk membantu pengguna memperoleh barangan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Beliau berkata, perkara itu dapat dipastikan kerana pihaknya berurusan terus dengan pembekal untuk produk dijual di semua KR1M, sekali gus menjamin harga rendah.

"Saya nak maklumkan ia (orang tengah) tidak boleh menjejaskan KR1M2.0 kerana kita berurusan terus dengan pembekal.

"Jadi dia nak kartel dengan siapa. Produk KR1M itu sendiri kita akan pertahankan. Produk lain yang tiada dalam KR1M jika kita ada aduan, akan diambil tindakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari di menara Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kenaikan harga barang di pasaran bukan disebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya tindakan orang tengah memanipulasi harga bagi mengaut keuntungan berlebihan.

Hadir sama, timbalannya Datuk Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi PNS, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee.

Hamzah berkata, banyak faktor penyebab kenaikan harga barangan di pasaran termasuk aktiviti orang tengah dan pihaknya mengambil tindakan menanganinya termasuk melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

"Kita ada undang-undang melalui MyCC untuk tentukan mereka tidak melakukannya jika tak mahu tindakan diambil.

"Sudah ada beberapa syarikat diambil tindakan membabitkan kedai roti dan persatuan pengusaha kedai roti," katanya.

Beliau berkata, inisiatif lain dilakukan kementerian adalah melalui Program Jualan Sentuhan Rakyat di seluruh negara dengan menjual barangan terus daripada pembekal kepada rakyat.

Sementara itu, Hamzah berkata, kementeriannya menyasarkan 150 jenis produk atau unit simpanan stok (SKU) dapat dijual di semua KR1M menjelang akhir bulan ini.

"Ketika pelancaran Februari lalu, terdapat 52 SKU dan kini meningkat kepada lebih 100. Ini membuktikan model ini bukan saja boleh diterima baik oleh rakyat, malah pengusaha luar lain.

"Penambahan SKU ini merangkumi barang berjenama dan mengekalkan bungkusan asal, "katanya.

Pada majlis sama, 15 syarikat peruncit dan pembekal KR1M 2.0 yang menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan dan PNS diberi sijil penghargaan.

"Kerjasama ini dapat memastikan KR1M 2.0 berjaya direalisasikan dan membantu kelangsungan perniagaan runcit dan bekalan produk KR1M 2.0 yang konsisten," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X