Khamis, 5 April 2018 | 1:09pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tiga dari kiri) melihat model projek Jambatan Marudi pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Jambatan Marudi. p Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tiga dari kiri) melihat model projek Jambatan Marudi pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Jambatan Marudi. p Foto BERNAMA

Taman Negara Mulu bakal miliki jambatan baharu

MARUDI: Kerajaan Sarawak berhasrat membina sebuah lagi jambatan baharu di Baram, di sini bagi menghubungkan Bandaraya Miri dan Taman Negara Mulu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata ia bagi mewujudkan akses lebih baik ke kawasan terbabit, khususnya dalam meningkatkan kunjungan pelancong ke sana.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jambatan itu hanya akan dibina selepas siapnya Jambatan Marudi, dan projek itu tentunya memerlukan sokongan padu penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Pembinaan jambatan baharu itu akan lebih mudah dicapai jika terdapat sokongan padu rakyat Sarawak terhadap BN.

"Lebih mudah bagi saya menyampaikan permintaan rakyat Sarawak kepada kerajaan Pusat jika BN dapat menang besar pada PRU14," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlus Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Jambatan Marudi yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, hari ini

Abang Johari berkata, jambatan baharu dicadangkan itu nanti akan menghubungkan Marudi dengan Long Terawan, yang terletak tidak jauh dari Taman Negara Mulu.

"Apabila jambatan baru berkenaan dibina, pelancong yang ingin datang ke Mulu boleh menggunakan perahu dari Long Terawan ke Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf UNESCO itu

"Sekali gus, semua projek infrastruktur berkenaan akan memberi kesan ekonomi yang besar kepada penduduk di Baram," katanya.

Beliau berkata, menerusi rangkaian kemudahan asas yang lengkap itu penduduk di Baram dan luar bandar akan lebih mudah memasarkan produk pertanian mereka.

Mengenai Jambatan Marudi, beliau berkata, sejumlah 27,000 penduduk di kawasan itu akan mendapat manfaat daripada projek berkenaan.

"Penduduk Marudi sudah begitu lama mahukan kerajaan membina jambatan itu, termasuk ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad, namun Datuk Seri Najib (Razak) yang berjaya melaksanakannya," katanya.

Berita Harian X