Jumaat, 6 April 2018 | 12:50pm
PENGUNDI berbaris ketika hadir menunaikan tanggungjawab mengundi. - Foto hiasan

Mandat kerajaan di tangan 14.8 juta pengundi

KUALA LUMPUR: Susulan pembubaran Parlimen yang berkuasa kuasa esok, seramai 14,806,185 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpeluang memilih kerajaan yang akan mentadbir negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mereka adalah pemilih yang sudah mendaftar diri sebagai pemilih dengan SPR, sehingga suku ketiga 2017.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan dalam PRU-14 termasuk termasuk 31 kerusi di Sarawak.

Sejumlah 505 kerusi DUN akan dipertandingkan di peringkat negeri seluruh negara kecuali Sarawak yang sudah mengadakan Pilhan Raya Negeri pada 2017.

Antara elemen dalam PRU-14 termasuk penggunaan dakwat kekal yang dicelup pada jari telunjuk kiri semua pengundi.

Pengundian awal pula dibuat menggantikan undi pos bagi anggota polis dan tentera.

Undi pos pula dibenarkan kepada masyarakat Malaysia termasuk pelajar sepenuh masa yang mendaftar dan berada di luar negara serta warga media.

Turut dibenarkan mengundi secara pos ialah Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; petugas hospital dan klinik kerajaan; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara; Jabatan Imigresen Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Agensi Pengurusan Bencana Negara dan petugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Berita Harian X