Jumaat, 6 April 2018 | 7:48pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong (kanan) mengadakan lawatan selepas merasmikan MATTA Johor yang diadakan di aras bawah pusat beli belah Danga City Mall, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

MATTA Fair Johor meriah

JOHOR BAHRU: Lebih 3,000 pengunjung menghadiri Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor yang diadakan di aras bawah Danga City Mall, di sini, hari ini.

Pameran tiga hari hingga Ahad ini yang disertai 31 agensi pelancongan, dua taman tema air, hotel dan resort itu mempromosikan pakej jualan, sekali gus merancakkan industri pelancongan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata pameran MATTA semakin mendapat sambutan sejak penganjuran bermula 1999.

Katanya, sektor pelancongan di Johor sudah mencapai suatu tahap yang matang dan berdasarkan prestasi pelancongan Johor beberapa tahun ini, pihaknya yakin ia berada di landasan tepat.

"Berdasarkan perangkaan kedatangan pelancong ke Johor, kami dapati ia meningkat dari 3.9 juta orang pada 2012 kepada 10 juta pelancong pada 2016.

"Selain itu, Johor menjadi negeri nombor satu dalam menarik pelancong domestik iaitu seramai 7.4 juta orang sepanjang 2016 dan saya amat yakin angka ini pasti meningkat selepas laporan 2017 dan 2018 dikeluarkan.

"Jumlah ini penting kerana dengan adanya perangkaan ini kita mampu menganggarkan sebanyak RM13 bilion nilai ekonomi dihasilkan untuk Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan MATTA Johor di sini. Yang turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail dan Pengerusi MATTA Johor, Kathryn Lee.

Siew Kiong berkata, pengguna Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut mencecah tiga juta orang pada 2017, berbanding hanya 1.99 juta orang pada 2013, dengan 18 laluan penerbangan domestik dan antarabangsa.

Katanya, pelancong yang menggunakan perkhidmatan kereta api ke Johor turut meningkat daripada 150,000 orang pada 2014 kepada 1.8 juta orang tahun lalu, susulan peningkatan kekerapan perkhidmatan dari lima kali sehari kepada 31 kali sehari.

"Kerajaan negeri menerusi pejabat Tourism Johor dan Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia akan terus memperhebatkan promosi bagi membantu Johor menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Johor kini memiliki banyak produk pelancongan antarabangsa dan semestinya dalam 10 tahun akan datang, negeri ini pasti berjaya sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini," katanya.

194 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »