X
Sabtu, 7 April 2018 | 2:13pm
SATU daripada blok SK Bukit Pekan yang ditutup buat sementara waktu selepas 10 murid dikesan dijangkiti kudis buta atau 'scabiei'. - Foto L Manimaran
SATU daripada blok SK Bukit Pekan yang ditutup buat sementara waktu selepas 10 murid dikesan dijangkiti kudis buta atau 'scabiei'. - Foto L Manimaran

Sekolah diserang kudis buta, lebih 10 murid dikuarantin

KAMPAR: Lebih 10 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan di sini, terpaksa dikuarantinkan di rumah masing-masing untuk sementara waktu selepas dikesan dijangkiti kudis buta atau 'scabiei'.

Jangkitan kudis buta disebabkan hama atau kutu halus dipanggil Sarcoptes scabiei (scabiei) boleh merebak dan menjadi lebih teruk jika tidak dirawat dengan segera.

Jika dibiarkan, hama halus boleh menetaskan telur di kawasan kudis sebelum menjadi ulat hingga boleh menyebabkan serangan ekzema pada kulit diikuti boleh menyebabkan pelbagai jangkitan bakteria lain.

Sumber berkata, ramai murid sekolah itu mengadu mengalami alahan kulit dan gatal-gatal yang serius sebelum pihak sekolah memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kampar untuk melakukan peperiksaan.

"Hasil pemeriksaan, lebih 10 pelajar terpaksa diarahkan untuk pulang dan menjalani kuarantin di rumah sehingga kudis pada tubuh kering dan sembuh.

"Masalah ini sudah sebulan berlaku dan keadaan menjadi lebih teruk baru-baru ini. Kami dimaklumkan hama penyakit disyaki dibawa burung hantu yang membawa bangkai tikus serta meletakkannya di atas siling bangunan sekolah.

"Berikutan itu, blok A bangunan sekolah yang menempatkan kelas bagi murid Tahun Satu dan Dua serta pejabat guru ditutup buat sementara waktu," katanya.

Sumber itu berkata, kelas berkenaan dipindahkan sementara waktu ke makmal dan pusat sumber sekolah dan kelas juga terpaksa digabungkan buat sementara waktu.

Masalah berkenaan menjadi viral apabila pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kampar (PKDK) memuat naik gambar operasi pembersihan yang dilakukan terhadap siling sekolah itu menerusi laman Facebook jabatan berkenaan.

Maklumat itu menyebut Pegawai Kesihatan dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama turun ke lokasi untuk melakukan langkah kawalan atas kes serangan hama 'Scabies' di sekolah berkenaan dan berjaya mengenal pasti puncanya.

Beberapa gambar termasuk operasi pembersihan, murid yang dijangkiti kudis, bangkai tikus dipercayai dimakan burung hantu di atas siling bangunan dan sampel hama yang diambil turut dikongsi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata beliau akan mendapatkan maklumat lanjut perkara itu daripada Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Hassan Merican, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan media.

Bagaimana pun, cubaan untuk mendapatkan kenyataan daripada pihak Pejabat Kesihatan Perak dan Pejabat Pendidikan Perak gagal.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X