Sabtu, 7 April 2018 | 9:51pm
PENINGKATAN gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun. - Foto hiasan
PENINGKATAN gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun. - Foto hiasan

'Dompet Rakyat' lonjak taraf hidup

PENINGKATAN gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun, dipateri ke dalam Manifesto Barisan Nasional (BN), berbanding RM1,000 sebelum ini.

Menerusi teras 'Kita Utamakan Ekonomi Hidup Rakyat' inisiatif 'Dompet Rakyat', BN berjanji menubuhkan Suruhanjaya Kerja Saksama untuk menentukan paras gaji pekerja sektor swasta supaya lebih setimpal, memperkenalkan kadar dividen dan bonus pelbagai peringkat untuk dana pelaburan dan unit dana amanah serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain kecuali Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

BN turut berjanji meningkatkan kesejahteraan pekerja berpendapatan RM2,500 ke bawah di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC melalui perluasan perlindungan insurans, pertambahan manfaat kesihatan serta kenaikan elaun kos sara hidup.

Pelbagai insentif lain bakal diberi kepada rakyat terutama kepada peneroka FELDA yang antara lain pemberian insentif khas RM5,000 kepada setiap peneroka dan mewujudkan geran khas bagi tujuan penanaman semula peneroka.

Selain itu, melupuskan hutang penanaman semula, melupuskan hutang pembelian saham FGV peneroka dan melupuskan hutang tambahan peneroka FELDA ketika proses penanaman semula.

Bagi golongan pekebun kecil, BN berjanji menaikkan harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG), meningkatkan bantuan musim tengkujuh untuk pekebun kecil getah, meminimumkan pembabitan orang tengah dalam hasil tani dan perikanan serta memperluaskan dana Skim Bantuan Tani dan penanaman semula untuk pekebun kecil kelapa sawit, getah, koko dan kenaf.

Peruntukan bantuan khas berjumlah RM222 juta turut disediakan kepada peneroka FELCRA, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

BN berjanji tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dengan menstruktur semula bantuan melalui pembinaan prasarana, selain memperhebatkan Kampung Baru Cina melalui pembinaan lebih banyak kemudahan asas dan memperkasa taraf sosio ekonomi masyarakat

India melalui Unit Pembangunan Masyarakat India (SEDIC) JPM.

INFO
Inisiatif lain 'Dompet Rakyat'

  • Menurunkan had maksimum kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit.
  • Meminda Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan bagi meluaskan kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
  • Mentransformasi sektor pertanian ke arah industri berpendapatan tinggi dengan menggunakan teknologi terkini.
  • Pemanjangan tempoh pelepasan cukai pendapatan kepada ibu bapa pemilik akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
  • Bantuan Khas sebanyak RM600 setahun kepada veteran ATM berusia 60 tahun ke atas yang tidak menerima pencen dan BR1M
  • Menstruktur semula bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
Berita Harian X