Isnin, 9 April 2018 | 4:39pm
REKTOR Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Datuk Prof Ir Dr Mohd Rizon Juhari. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Universiti P Ramlee mampu lahir graduan seni berkualiti

KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang akan dinaik taraf kepada Universiti P Ramlee (UPR), mampu melahirkan graduan seni lebih berkualiti dan dapat membantu memacu pembangunan negara dengan lebih dinamik.

Rektornya, Prof Datuk Ir Dr Mohd Rizon Juhari, berkata pengumuman Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berhubung penubuhan UPR jelas menggembirakan kira-kira 1,000 kakitangan dan pelajar ASWARA memandangkan usia penubuhannya tahun ini sudah mencecah 24 tahun.

Mohd Rizon berkata, sejak 2010 hingga tahun lalu, seramai 1,432 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam 17 program akademik ditawarkan akademi berkenaan.

"Jumlah terkini pelajar ASWARA seramai 700 orang dan setiap tahun, kira-kira 300 pelajar baharu diambil untuk setiap kemasukan pada bulan September.

"Ramai anak seni hebat dilahirkan selama ini termasuk pengacara dan pelakon, Sherry Al-Hadad, Nad Zainal, Amyra Rosli dan penulis terkenal, Siti Jasmina Ibrahim yang mampu menyumbang sesuatu untuk pembangunan negara.

"Jadi, jika melihat kepada pencapaian selama ini, pengiktirafan berkenaan (naik taraf) memang tepat pada masanya dan seluruh warga ASWARA sudah bersedia sepenuhnya menjadi universiti awam," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohd Rizon berkata, kerajaan sebelum ini turut menyasarkan industri kreatif tanah air mampu menjana pendapatan sehingga RM33 bilion menjelang tahun 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata, laporan terkini daripada Megasains 3.0 yang dikeluarkan Akademi Sains Malaysia menunjukkan industri kreatif berkemungkinan besar mampu mencapai sasaran berkenaan lebih awal iaitu pada tahun ini.

Katanya, kerajaan juga mempunyai rancangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kebudayaan dan Kreatif dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Industri kreatif sememangnya mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan data yang diperoleh selama ini jelas membuktikan kepentingan industri berkenaan untuk ekonomi Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan UPR, Mohd Rizon berkata, kampus induk adalah di ASWARA asal (Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur), manakala kampus cawangan bakal dibina di Besut, Terengganu.

"Selepas ini, tumpuan kami sudah semestinya terhadap bidang penyelidikan, perundingan dan penerbitan, berbeza dengan fungsi ASWARA sebelum ini iaitu hanya tertumpu kepada pengajaran serta pembelajaran saja.

"Ini kerana, skop sebagai sebuah universiti awam sememangnya lebih besar dan menyeluruh berbanding sebuah akademi.

"Saya berharap pengiktirafan berkenaan bakal mendorong lebih ramai anak seni dan orang ramai menimba ilmu dalam bidang kreatif ini," katanya.

Sementara itu, Sherry Al-Hadad turut bersyukur pusat pengajian yang mengkhusus kepada seni kreatif dan persembahan itu dinaik taraf kepada universiti awam dan pada masa sama, membuktikan BN menghargai jasa seniman agung, TanSri P Ramlee.

"Meskipun bertukar nama, saya harap jiwa dan aspirasi pusat pengajian itu masih sama iaitu melahirkan lebih ramai anak seni yang berjaya dan berwibawa.

"Pengiktirafan ini bukan saja kepada seluruh warga ASWARA tetapi secara tidak langsung menjulang sumbangan dan memberi pengiktirafan besar kepada tokoh seniman lagenda negara, P Ramlee," katanya.

Info:

  • Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ditubuhkan pada tahun 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia dan dikenali ASWARA berkuat kuasa pada 1 Ogos 2006 melalui Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653)
  • ASWARA adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang persembahan
  • Ia melahirkan graduan pada peringkat sijil, diploma, ijazah dan ijazah tertinggi dalam pelbagai bidang berkaitan industri kreatif.

Berita Harian X