Selasa, 10 April 2018 | 4:29pm
PENGERUSI Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Datuk Che Mat Che Ali (dua kanan) ketika Pusat Pungutan Zakat MAIWP bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah bekerjasama dalam menggesa para peniaga untuk menunaikan zakat perniagaan mereka bersempena program Kempen Ziarah Zakat Siri 3 di Menara Mara. - Foto Halim Salleh

Zakat perniagaan, ramai kurang kesedaran

KUALA LUMPUR: Kurangnya kesedaran di kalangan peniaga untuk membayar zakat perniagaan menyebabkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meneruskan lagi siri program Ziarah Zakat yang ketiga.

Kempen yang dilakukan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu hari ini turut melawat 82 premis di sekitar Medan Mara dan Busana Mall, di sini.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali, berkata kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu bagi menggalakkan peniaga dan syarikat Islam membayar zakat.

"Kami akan pergi dari kedai ke kedai untuk bertemu dengan peniaga dan syarikat perniagaan bagi mewujudkan kesedaran mengenai kewajipan mereka memenuhi rukun Islam yang ketiga itu.

"Kempen ini dapat dilihat sebagai perkongsian antara kami dan PPIM dalam memberikan kesedaran kepada semua peniaga di luar sana mengenai kepentingan zakat dan bagaimana sumbangan kewangan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan wakil selebriti Norman Hakim.

Che Mat berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan kutipan zakat PPZ-MAIWP dan membawa agensi untuk lebih mendekati peniaga-peniaga dan komuniti perniagaan untuk mengelakkan mereka daripada pergi kepada pengumpul zakat atau agensi yang tidak sah.

Bagi pemilik Zaza Restoran, Zakaria Mohd Nor, 67, beliau sudah menjadi pembayar zakat sejak 20 tahun lalu dan percaya adalah penting bagi peniaga menyumbang sebahagian keuntungan sebagai zakat bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

"Apabila seorang individu menjalankan perniagaan, sudah menjadi tanggungjawabnya membayar zakat dan saya harap peniaga mempunyai kesedaran dalam membantu mereka yang memerlukan sumbangan zakat dan membayar zakat perniagaan setiap tahun," katanya.

124 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »