Selasa, 10 April 2018 | 4:54pm

HKKP UKM fokus rawatan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Penaung Hospital Kanak-Kanak PERMATA Universiti Kebangsaan Malaysia (HKKP UKM), Datin Seri Rosmah Mansor, mahu hospital itu memiliki keunikan tersendiri yang menjurus kepada penyelidikan kanak-kanak.

Berikutan itu, hospital yang dijangka siap pada 30 November ini dan mula beroperasi 1 Julai 2019, akan menyediakan pelbagai bidang rawatan untuk kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Antaranya, rawatan surgeri laparoskopik yang minimum invasi, perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik serta implan koklear.

Selain itu, rawatan pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik pediatrik dan endokrinologi pediatrik.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Projek HKKP UKM, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal, berkata penekanan itu disuarakan oleh Rosmah pada sesi taklimat tertutup di premis itu, di sini, hari ini.

Rosmah juga meninjau hospital itu, yang kini sudah 70 peratus siap.

Lawatan kira-kira 30 minit itu, disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Datuk Seri Noor Azlan Ghazali.

Pada majlis itu, Rosmah turut diberi penghormatan untuk memilih satu daripada cadangan dekorasi dan warna bangunan hospital itu.

Dr A Rahman berkata, hospital moden dan berteknologi tinggi bernilai RM606 juta itu dijangka memuatkan sebanyak 250 katil, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di wad pediatrik hospital lain.

"Wad pediatrik sedia ada, termasuk di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kini sesak dengan puluhan ribu pesakit, malah wad pediatrik di HUKM saja mencecah 20,000 pesakit setahun.

"Hospital pintar dengan konsep mesra keluarga ini turut memudahkan operasi kerana ia bersifat tanpa kertas.

"Ia turut menyediakan kemudahan daftar sendiri, malah setiap pesakit diletakkan dalam bilik berasingan," katanya.

Majlis pecah tanah hospital berkenaan dilakukan 23 Ogos 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PENAUNG Hospital Kanak-Kanak PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor melawat ruang pameran projek Hospital Kanak-Kanak PERMATA. - Foto Rosela Ismail
REPLIKA bangunan Hospital Kanak-Kanak PERMATA (HKKP UKM). - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X