Rabu, 11 April 2018 | 8:06pm
DATUK Zulkefli Salleh memberi kata aluan pada Wacana pada Hari Wartawan Nasional Malaysia (HAWANA). - Foto Rosela Ismail

Penubuhan Majlis Media Malaysia dibincang lanjut

KUALA LUMPUR: Pengamal media hari ini sepakat untuk berbincang lanjut mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) bagi memainkan peranan sebagai badan pengawal selia media utama di negara ini.

Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh, berkata cadangan penubuhan badan bebas itu sudah lama diperjuangkan sejak tahun 70-an oleh warga media tempatan, namun sehingga kini belum ada kata putus berhubung penubuhan MMM.

"Kita merasakan sudah tiba masanya untuk Malaysia mempunyai badan pengawal selia media sendiri seperti di negara maju lain. Namun, kita akan melihat kepada perkembangan media cetak dan elektronik supaya sesuai dengan perjuangan yang dibawa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2017/2018 Kuala Lumpur di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, di sini, hari ini.

Zulkefli berkata, MMM itu nanti akan dianggotai pengamal media, wakil masyarakat dan pemain industri.

"Secara idealnya, pembabitan pengamal media, wakil masyarakat dan pemain industri dalam MMM akan berganding bahu bagi memastikan Malaysia berada di landasan sebenar.

"Tanpa mengenepikan etika kewartawanan, MMM dilihat mampu menaikkan imej dan kredibiliti pengamal media sekali gus diangkat sebagai individu yang boleh dipercayai masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata kandungan penubuhan MMM perlu dibincangkan lebih lanjut supaya dapat merangkumi keperluan media cetak dan elektronik secara menyeluruh.

"Cadangan penubuhan ini sudah dibuat sejak beberapa tahun lalu dan kini ia memerlukan penelitian pihak editor supaya sesuai dengan era sekarang.

"Jika dulu tiada isu penyebaran berita palsu melalui media elektronik, namun kini kita perlu melihat semula perubahan ini untuk disesuaikan dalam penubuhan MMM nanti," katanya.

Pada masa sama, Pengarah Editor The Sun, Freddie Ng, berkata MMM hanya perlu dianggotai oleh pengamal media saja.

"MMM hanya perlu dianggotai pengamal media bagi tujuan kredibiliti. Ia tidak sepatutnya membabitkan mana-mana wakil kerajaan supaya tidak kehilangan kredibiliti," katanya.

Pengamal media pada wacana itu juga bersetuju cadangan menetapkan tarikh sambutan HAWANA pada 29 Mei setiap tahun bermula tahun depan mengambil kira sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu di Malaysia pada 1939.

Malaysian Press Institute (MPI) sebelum ini menggesa penubuhan MMM bagi membela dan menaik taraf media kewartawanan negara seiring perkembangan terkini.

Berita Harian X