Khamis, 12 April 2018 | 2:22pm
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada Majlis Pelancaran Ikrar Kementerian Pertahanan bertemakan Perteguhkan Negara di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada Majlis Pelancaran Ikrar Kementerian Pertahanan bertemakan Perteguhkan Negara di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Warga ATM dinasihati tidak layan tohmahan

KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinasihati tidak melayan sebarang dakwaan dan tohmahan dilemparkan pihak tertentu berhubung pelbagai usaha dilakukan Kementerian Pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan sebaliknya, anggota ATM sewajarnya meletakkan kepercayaan penuh kepada kementerian itu berdasarkan pelbagai usaha khusus bagi membela warganya sejak dulu lagi.

Tanpa menyebut nama pihak terbabit, beliau berkata, dakwaan dilemparkan itu adalah perkara biasa terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Dalam musim sebegini memang banyak dakwaan dan tuduhan. Saya dalam politik sudah lama dan biasa dengan perkara ini, tapi dakwaan begini tidak kedengaran, mengapa sekarang mereka yang tertentu tidak bangkitkan ini sekarang tampil menidakkannya?

"Jadi saya nasihat kepada anggota dan warga ATM dengan ikrar dan kerja yang mereka lakukan selama ini jangan layan lagi.

"Kita buat dan dekatkan diri dengan pemegang taruh (amanah), dekatkan diri dengan rakyat beritahu bahawa setiap anggota ATM dan kementerian ada impian," katanya selepas Majlis Pelancaran Ikrar Kementerian Pertahanan bertemakan Perteguhkan Negara di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Hishammuddin berkata, hala tuju dan impian ATM lebih penting disampaikan kepada rakyat dan hanya berpolitik.

"Ini untuk memastikan keselamatan dan masa depan negara boleh diletakkan di bahu mereka yang benar-benar ikhlas dan tiada pertimbangan lain," katanya.

Menurutnya, beliau yakin pelbagai dakwaan itu tidak memberi tekanan kepada warga ATM termasuk veteran, malah mereka lebih yakin dengan apa yang hendak dilakukan kementerian.

"Mungkin ada kelemahan yang perlu ditangani tetapi mereka yang cuba ambil kesempatan dan menuding jari serta memperlekehkan apa yang kita lakukan selama ini memang mudah.

"Tapi saya percaya majoriti mereka memahami tiada wadah lain dan selama ini kerajaan ini yang membela mereka," katanya.

Berhubung ikrar kementerian itu, Hishammuddin berkata, ia mengandungi enam teras hala tuju iaitu Kebajikan, Diplomasi Pertahanan, Perumahan, Kesiapsiagaan, Keselamatan dan Khidmat Negara.

Katanya, pelancaran ikrar itu membuktikan kerajaan dan pentadbirannya mempunyai visi dan agenda jelas serta bersedia dikritik dan ditegur secara terbuka.

"Ikrar ini hasil kerja yang begitu lama, sampai tahap ini kita bukukan sebab kita berani dan yakin boleh dilaksanakan.

"Saya nak nyatakan anggota ATM, keluarga mereka dan veteran tentera boleh pegang kepada ikrar ini.

"Sekiranya diberi mandat besar (PRU14), ikrar ini boleh jadi jaminan kepada mereka supaya jangan toleh ke belakang lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dan bersiap siaga dalam memastikan proses demokrasi dan pilihan raya berjalan lancar.

"Makluman yang saya terima daripada panglima-panglima khususnya PAT, kita bekerjasama rapat dengan Ketua Polis Negara untuk memastikan walau apa berlaku proses pilihan raya akan berjalan lancar," katanya.

Berita Harian X