Jumaat, 13 April 2018 | 3:54pm
SEBAHAGIAN dari NGO menyokong Datuk Seri Dr Shafei Abdullah dicalonkan sebagai calon Parlimen Wangsa Maju di hadapan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Abd Rahim Rahmat

NGO minta Shafei dicalonkan di Wangsa Maju

PUTRAJAYA: Senarai rasmi calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) belum diumumkan, namun sudah ada pihak mahu individu tertentu ditampilkan atau dicalonkan semula.

Pagi ini, kira-kira 30 individu yang mendakwa mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Parlimen Wangsa Maju, menyerahkan memorandum meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi BN mencalonkan semula Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, di kerusi berkenaan.

Memorandum itu diserahkan Penasihat Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia, Datuk B Anbumani, kepada wakil Pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.

Anbumani ketika ditemui di perkarangan luar Bangunan Perdana Putra, berkata mereka mahu Mohd Shafei dicalonkan semula dengan mengambil kira segala usaha dan khidmat bakti dicurahkannya kepada masyarakat di Wangsa Maju.

"Kami yakin hanya dengan kepemimpinan beliau (Mohd Shafei) yang mampu menjamin masa depan dan menggalas harapan masyarakat di Wangsa Maju.

"Kami sudah bersama-sama dengannya bekerja untuk rakyat di Wangsa Maju selama lima tahun ini disebabkan kami tidak mahu yang lain, hanya dia yang layak bertanding di Parlimen Wangsa Maju dan dengan cara ini saja kita boleh rampas kembali Wangsa Maju," katanya.

Difahamkan, pada PRU-14, kerusi Parlimen Wangsa Maju bakal diserahkan semula kepada MCA, yang sebelum ini dianggap sebagai kerusi tradisi parti berkenaan.

Sebagai pertukaran, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang pada PRU-13 ditandingi calon MCA, bakal diserahkan kepada UMNO dengan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil disebut-sebut bakal dicalonkan di kerusi berkenaan.

Pada PRU-13, Mohd Shafei tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong di kerusi Parlimen Wangsa Maju yang memperoleh majoriti 5,511 undi.

Pada PRU-13, bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, calon MCA, Tan Kok Eng, tewas kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 11,832 undi.

Berita Harian X