Sabtu, 14 April 2018 | 12:03am
KETUA UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah. - Foto Aswadi Alias.

Biar parti tentukan - Mohd Shafei

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah, menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti menentukan sama ada untuk meletakkan calon UMNO atau MCA bertanding di kawasan Parlimen itu.

Bagaimanapun, Mohd Shafei berkata sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) akan terjejas jika calon selain UMNO diletak bertanding kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Beliau berkata, dalam mesyuarat semalam, semua ahli terkejut dengan khabar angin calon MCA bakal diletakkan bertanding.

"Sejak sekian lama yang menggerakkan kawasan ini adalah orang UMNO, bukannya MCA. Mereka hanya melakukan sedikit kerja di sini," katanya selepas majlis solat hajat dan doa selamat di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana, di sini.

Difahamkan, pada PRU-14, kerusi Parlimen Wangsa Maju akan diserahkan semula kepada MCA.

Sebagai pertukaran, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang ditandingi calon MCA pada PRU-13, bakal diserahkan kepada UMNO.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dikatakan bakal bertanding di kerusi berkenaan.

Pada PRU-13, Mohd Shafei tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, di kerusi Parlimen Wangsa Maju yang memperoleh majoriti 5,511 undi.

Pemilih berdaftar di kawasan Parlimen Wangsa Maju terdiri daripada 61 peratus Melayu, 21 peratus Cina dan 18 peratus India.

Berita Harian X