Sabtu, 14 April 2018 | 1:45am
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto Amran Hamid
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto Amran Hamid

Dr Mahathir nafi miliki saham The Loaf

BUKIT KAYU HITAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak memiliki saham dalam kedai roti premium, The Loaf, yang menutup perniagaannya selepas 12 tahun beroperasi.

Katanya, beliau hanya memiliki 200 unit saham dalam sebuah syarikat tembakau dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

"Saham itu dianugerahkan kepada saya selepas merasmikan syarikat terbabit ketika menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas ceramah umum di Bukit Tangga di sini malam tadi.

Dr Mahathir mengulas laporan The Loaf menutup perniagaannya selepas 12 tahun beroperasi.

Penutupan itu disiarkan menerusi satu notis yang dimuatnaik dalam media sosial bertarikh 9 April lalu yang ditujukan khusus untuk pelanggan mereka.

Notis itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab mengapa ia ditutup sebaliknya hanya berkata berpuas hati berjaya mencapai objektif utamanya.

Ia turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggannya di atas sokongan diberikan kepada mereka sepanjang 12 tahun.

Berita Harian X