Isnin, 16 April 2018 | 11:22am

Najib bertemu Ahli Parlimen BN

PUTRAJAYA : Datuk Seri Najib Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pertemuan itu banyak menyentuh mengenai kekeluargaan dalam parti, setiakawan dan wala'.

"Kami sebagai keluarga BN perlu memegang prinsip wala', pertemuan tadi bersama Ahli Parlimen BN dan perjumpaan itu diadakan secara beramai ramai," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang sudah berkhidmat dengan baik.

"Beliau beritahu ada yang naik, ada yang turun, ada yang dicalon, ada yang tidak. Sama-sama kita adalah saudara dan keluarga," katanya yang juga penyandang kerusi Ahli Parlimen Santubong.

Timbalan Ketua Pergerakan Wanita, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pertemuan hari ini banyak menyentuh mengenai pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan dalam parti.

"Kita satu keluarga yang besar. Macam pesanan mak ayah kita, kita ada adik beradik yang ramai. Jadi kalau ada yang terlebih tumpuan, atau ada yang tak kena, janganlah berkecil hati," katanya.

Ditanya sama ada isu pencalonan PRU-14 turut disentuh dalam pertemuan itu, Rohani berkata ia tidak dibincangkan.

Sementara itu, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan berkata, amanat yang diberikan ialah untuk menjaga parti BN.

"Ucapan yang diberikan sangat ringkas, menyakinkan dan menanam semangat BN tidak kira dilantik sebagai calon atau tidak, kita mesti bersama BN.

"Selain itu juga, beliau (Najib) turut meminta kami mempertahankan parti dan BN demi kebaikan negara.

"Semua yang hadir gembira sebab ia menanam sifat kekitaan dalam diri ahli BN, caranya itu (mengadakan pertemuan) sangat bagus," katanya.

Ditanya mengenai kerusi Cameron Highlands, Saravanan berkata pertemuan berkenaan tidak sedikit pun berbincang mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pertemuan bersama Pengerusi BN itu diadakan pada jam 9 pagi dan berakhir kira-kira sejam selepas itu.

Najib kemudiannya dilihat keluar dari Seri Perdana menggunakan kenderaan rasminya pada jam 11.30 pagi.

3879 dibaca
PENGERUSI MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »