Selasa, 17 April 2018 | 1:59pm
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

'Buat pilihan dengan bijak'

PUTRAJAYA: Kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara diingatkan melaksanakan hak sebagai pengundi bertanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata penjawat awam perlu membuat pilihan berdasarkan fakta dan tidak membenarkan emosi mempengaruhi diri.

"Saya ingin mengingatkan 1.6 juta penjawat awam supaya melaksanakan hak masing-masing secara bertanggungjawab," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2018 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 1,812 penjawat awam pelbagai agensi di bawah JPM menerima APC masing-masing.

Beliau berkata, penjawat awam perlu membuat pilihan tepat bagi memastikan kesinambungan keamanan, keharmonian dan kestabilan ekonomi seperti dinikmati ketika ini.

Jika ada perkara perlu diperbaiki, katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengalu-alukan idea dan maklum balas menerusi pelbagai platform Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Saya percaya momentum kecemerlangan kerajaan akan diteruskan dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara," katanya.

Ali juga mahu kakitangan awam terus menyokong usaha memacu negara ke arah agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri sentiasa mengutamakan lima prinsip utama iaitu ekonomi, global, berwawasan, menjaga rakyat dan menyampaikan kepada rakyat.

"Perdana Menteri sentiasa mengingatkan penjawat awam supaya lebih cekap, memiliki nilai jati diri yang kukuh dan inovatif," katanya.

Katanya, Perdana Menteri turut mengutamakan beberapa prinsip dalam melaksanakan tugas termasuk walak, wasatiyyah dan tabayyun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pembangunan Aplikasi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Hanissul Jalis Md Yuso, 54, bersyukur kerana terpilih sebagai seorang daripada 10 penerima anugerah khas JPM.

"Saya akan menjadikan pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat," katanya yang sudah 30 tahun berkhidmat di sektor perkhidmatan awam.

Berita Harian X