Rabu, 18 April 2018 | 10:40pm
KUALA LUMPUR, 18 April -- Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Prof Dr Khairil Annas Jusoh (dua, kanan) bersama Pengerusi Yayasan Artis Malaysia Datuk DJ Dave (tiga, kiri) melancarkan Album Khas Nada Seni Ritma Negara 'Kawan Setia' hari ini.- Foto BERNAMA

DJ Dave rakam semula lagu pupuk kesetiaan rakyat

KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat dekad, penyanyi terkenal Datuk DJ Dave merakam semula dua lagunya 'Kawan Setia' dan 'Negaraku Tercinta' bagi menerapkan semangat kesetiaan dalam kalangan rakyat.

Penasihat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Khairil Annas Jusoh, berkata dua lagu itu, yang diberi sentuhan baharu oleh komposer terkemuka, S Atan, dimuatkan dalam album khas Nada Ritma Negara - Kawan Setia.

Katanya, album berkenaan, yang akan diedarkan secara percuma, diterbitkan Pejabat Penasihat Perdana Menteri bersama-sama Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih.

"Album ini diilhamkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memetik bait-bait lirik lagu 'Kawan Setia' yang amat bermakna pada Perhimpunan Agung UMNO 2017.

"Sehubungan itu, pihak Pejabat Penasihat Perdana Menteri bersama-sama Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih menjalinkan kerjasama untuk mengembangkan hasrat Perdana Menteri bagi menyemai nilai kesetiaan dalam kalangan masyarakat negara ini," katanya selepas melancarkan album khas itu di sini, hari ini.

Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Seri Prof Khairil Annas Jusoh bersama golongan artis veteran yang menerima sumbangan pada majlis Pelancaran Album Khas Nada Seni Ritma Negara ' Kawan Setia' hari ini. Album khas Nada Seni Ritma Negara - Kawan Setia memuatkan dua lagu yang digubah semula komposer, S Atan iaitu Kawan Setia dan Negaraku Tercinta. Turut hadir Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave . - Foto BERNAMA

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, Najib menjadikan bait-bait lagu bertajuk 'Kawan Setia' sebagai satu perlambangan untuk menggambarkan hubungan akrab beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khairil Annas berkata, album itu turut memuatkan klip video dan boleh ditonton serta didengari di semua platform media termasuk media sosial secara percuma dalam masa terdekat.

Beliau berharap album khas itu dapat memberi impak positif kepada kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. - BERNAMA.

Berita Harian X