Khamis, 19 April 2018 | 6:18pm
AEGILE Fernandez pada majlis pelancaran aplikasi Be My Protector. - Foto Zunnur Al Shafiq

Aplikasi lapor pemerdagangan manusia

PETALING JAYA: Pertubuhan hak asasi manusia, Tenaganita melancarkan aplikasi Be My Protector bagi memudahkan orang ramai atau mangsa melaporkan kejadian pemerdagangan manusia.

Aplikasi yang boleh di muat turun secara percuma di telefon bimbit mulai hari ini, adalah hasil usaha sama Tenaganita dan pertubuhan hak asasi, Change Your World (CYW) sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Tenaganita, Aegile Fernandez, berkata pihaknya sudah melancarkan kempen Be My Protector iaitu kempen kesedaran pemerdagangan manusia bersama CYW melalui sosial media sejak tahun 2015.

Katanya, kempen itu bertujuan memberi kesedaran awam mengenai kepentingan memerangi pemerdagangan manusia terutama membabitkan wanita dan kanak-kanak yang biasanya dieksploitasi untuk kegiatan seks dan pelacuran, perhambaan serta kahwin paksa.

"Melalui aplikasi Be My Protector ini, ia akan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat kegiatan pemerdagangan manusia untuk diambil tindakan," katanya pada majlis pelancaran aplikasi itu di sini, hari ini.

Aplikasi itu adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini sebagai satu lagi usaha berterusan memerangi kegiatan tidak bermoral itu.

Sementara itu, wakil CYW, Kelvin Lim, berkata melalui aplikasi itu, pengadu boleh menghantar terus gambar mangsa serta lokasi bersama butiran tambahan lain.

Katanya, mangsa pemerdagangan manusia juga boleh membuat aduan sendiri melalui aplikasi itu dan segala butiran mengenai pengadu, sama ada orang awam atau mangsa, ia akan dirahsiakan.

"Maklumat diterima akan disalurkan kepada Tenaganita untuk siasatan mengenai kesahihan aduan dalam tempoh 24 jam dan jika benar, kita akan laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya.

Tenaganita dan CYW mensasarkan aplikasi itu dimuat turun lebih sejuta pengguna dalam tempoh lima tahun.

118 dibaca
Berita Harian X