Khamis, 19 April 2018 | 10:12pm
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh. - Foto Mohd Fadli Hamzahah
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh. - Foto Mohd Fadli Hamzahah

PPKM mohon kuota haji

KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) menuntut Tabung Haji mempertimbangkan sekurang-kurangnya 300 kuota haji tahunan kepada ahlinya menunaikan ibadat haji.

Presiden PPKM, Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh, berkata ia bagi membolehkan 85,000 ahli yang juga bekas penjawat awam mendapat peluang dan giliran menunaikan haji lebih awal.

Ketika ini, katanya, pesara terpaksa menunggu lama untuk menunaikan haji dan ada yang terpaksa menolak tawaran apabila tiba giliran atas alasan faktor kesihatan tidak mengizinkan.

"Persatuan sudah menghantar senarai 155 calon kepada Tabung Haji sejak 12 tahun lalu dan sampai sekarang mereka masih menunggu giliran untuk ke Makkah.

"Tabung Haji perlu bersimpati dengan nasib pesara yang kebanyakannya menyimpan hasrat menunaikan haji dalam keadaan kesihatan baik dan wajar diberi kelonggaran menunaikan haji tanpa mengikut giliran," katanya ketika dihubungi, di sini.

Wan Mahmood mendakwa ahlinya layak diberikan kuota haji tambahan berbanding Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) dan Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan atas kapasiti mempunyai lebih ramai ahli.

"Kalau diluluskan, Alhamdulillah. Selepas pencen, tiada lain hasrat kami melainkan untuk menunaikan ibadat haji.

"Kami terhutang budi dengan pengumuman Datuk Seri Najib Razak pada 5 April lalu yang memberikan kuota khusus untuk pesara, cuma berapa jumlah kuota itu belum diputuskan," katanya.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri mengumumkan 800,000 pesara kerajaan akan menerima tiga insentif kebajikan iaitu kuota haji, kenaikan kadar pencen satu peratus secara sekali beri dan geran khas RM1 juta kepada persatuan pesara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X