Ahad, 22 April 2018 | 2:36pm
SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama calon-calon Barisan Nasional pada Pelancaran Manifesto dan Sesi Perkenal Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Calon dipilih ikut merit, disukai rakyat

PUTRAJAYA: Semua calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan termasuk calon wanita yang ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dipilih berdasarkan merit dan calon yang dimahukan rakyat.

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata walaupun tiga calon wanita dipilih bukan daripada UMNO, namun parti itu memastikan calon dipilih berwibawa untuk diketengahkan.

"Sama ada calon Wanita, Pemuda atau Puteri, kita ikut merit dan yang penting sekali, kita mahu calon yang rakyat mahu. Kalau anda calon wanita, (calon) yang baik, kita akan beri (untuk bertanding).

"Bagaimanapun, saya gembira kerana daripada 13 calon (BN Wilayah Persekutuan) tadi, ada tiga calon wanita daripada parti komponen, termasuk seorang calon bekas Timbalan Pendakwa Raya berusia 33 tahun yang akan bertanding di Seputeh," katanya kepada media selepas menghadiri majlis penyerahan peruntukan pembinaan surau Presint 8E di sini, hari ini.

Pembinaan surau yang boleh memuatkan hampir 1,000 jemaah itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan turut berperanan sebagai surau Jumaat.

Tengku Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika ditanya mengenai kriteria calon wanita yang dipilih mewakili BN di Wilayah Persekutuan pada PRU-14, yang diumumkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Daripada 13 calon berkenaan, tiga calon adalah wanita daripada MCA iaitu Timbalan Setiausaha MCA Bahagian Seputeh, Chan Quin Er yang akan bertanding di Parlimen Seputeh; Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Bintang, Ann Tan Ean Ean (Bukit Bintang) dan Ketua Wanita MCA Bahagian Cheras, Heng Sinn Yee (Cheras).

Sementara itu, mengenai dua calon pembangkang yang akan menjadi saingannya di Putrajaya, Tengku Adnan yang akan mempertahankan kerusi Parlimen itu bagi penggal keempat, berkata beliau amat mengenali kedua-dua calon berkenaan.

"Nak kata (saingan) yang mudah pun tidak boleh. Bagaimanapun, saya sudah lakukan segala-gala sebaiknya untuk warga Putrajaya. Saya serah kepada Allah dan pengundi saya," katanya.

Sebelum ini, pakatan pembangkang yang akan menggunakan logo PKR mengumumkan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Samsu Adabi Mamat sebagai calon mereka, manakala PAS mempertaruhkan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Zainal Abidin Kidam.

Berita Harian X