Selasa, 24 April 2018 | 2:19pm
MOHD Zaidi Mohd Said. - Foto Amir Irsyad Omar

Nurul Izzah bukan masalah - Zaidi

GEORGETOWN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, sedia berhadapan siapa sahaja di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, berkata jentera BN sudah bergerak awal lagi bagi memastikan kawasan yang pernah menjadi kerusi tradisi UMNO dapat dimenangi kembali kali ini.

"Pada saya, (Naib Presiden PKR) Nurul Izzah Anwar bukan suatu masalah kepada BN, malah beliau sehingga kini masih dilihat teragak-agak untuk diturunkan bertanding di kawasan terbabit.

"BN kali ini menurun empat calon anak tempatan di Permatang Pauh. Kita yakin untuk menang berdasarkan perpecahan yang berlaku kepada pihak lawan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon BN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mohd Zaidi dijangka berhadapan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru membabitkan Nurul Izzah dan calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudeen.

Berita Harian X