Selasa, 24 April 2018 | 9:42pm
 PENGERUSI SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENGERUSI SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

SPR selaras semula syarat bahan kempen

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membuat penyelarasan semula syarat penggunaan bahan untuk berkempen ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan bermula pada 28 April hingga 8 Mei ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata penyelarasan semula syarat berkempen itu secara tidak langsung dapat memastikan segala aktiviti berkempen yang dilakukan oleh calon parti politik berjalan dalam keadaan aman dan lancar.

Katanya, antara syarat yang perlu dipatuhi oleh calon yang berkempen ialah, calon mestilah mempunyai permit untuk mempamerkan bahan kempen mereka kepada orang ramai dalam bahagian pilihan raya yang ditandinginya.

"Permit bahan kempen berkenaan akan dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan mengikut Seksyen 24B (4), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Selain itu, bagi penggunaan gambar pemimpin utama parti politik terbabit, ia hanya dihadkan kepada dua pemimpin utama parti politik sahaja iaitu Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya).

"Dua pemimpin berkenaan dipilih mengikut kepada parti politik yang didaftarkan oleh calon ketika hari penamaan calon.

"Jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan.

"Bahan kempen itu boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua-dua pemimpin utama parti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hashim berkata, bagi penggunaan lambang atau simbol parti politik pula, calon perlu memastikan simbol atau lambang yang ingin digunakan itu sudah berdaftar dengan SPR.

"Manakala bagi calon yang bertanding menggunakan lambang atau simbol parti komponen berdaftar sebagai gabungan diwakili calon itu, (penggunaan lambang atau simbol) dibenarkan untuk dipamer secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya di mana calon terbabit bertanding," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X