Khamis, 26 April 2018 | 1:16pm

Urbanisasi berbalik majukan kawasan luar bandar - TPM

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan kini melakukan proses urbanisasi berbalik di kawasan luar bandar sebagai proses transformasi membandarkan kawasan berkenaan, sekali gus memberi kemajuan kepada penduduknya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia selaras matlamat kerajaan iaitu 70 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar menjelang tahun 2050.

"Kerajaan sentiasa membuka mata dan telinga bukan saja untuk mendengar rintihan rakyat, tetapi merasai degup jantung dan nadi mereka terutama di kawasan pedalaman, luar bandar dan pinggir bandar yang sebelum ini terlepas pandang.

"Ia kerana sebelum ini tumpuan diberi di kawasan bandar yang (penduduk) tidak sokong kerajaan sebab percaya mereka berhak mendapat kemudahan itu.

"Jadi, kerajaan menilai semula dokongan dan sokongan masyarakat desa (terhadap kerajaan) dengan memberikan tumpuan untuk membandarkan kawasan luar bandar," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek menaik taraf laluan dari FT005-FT069 dari Simpang Empat Hutan Melintang ke pekan Bagan Datuk dan persimpangan bertingkat di daerah Bagan Datuk di sini, hari ini.

Projek fasa pertama sepanjang lima kilometer dari Simpang Empat ke Parit 19 dengan laluan empat lorong membabitkan kos RM104 juta itu dijangka siap pada 2 Mei 2021.

Antara skop projek itu ialah pengambilalihan tanah, melakukan kerja pengalihan utiliti, pembaikan tanah lembut, membina dua jambatan masing-masing sepanjang 12 meter dan 30 meter, kerja elektrik serta memasang aksesori jalan.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob serta Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Gazali Jalal.

Ahmad Zahid berkata, proses menaik taraf jalan raya daripada dua lorong kepada empat lorong di daerah Bagan Datuk adalah sebahagian proses urbanisasi berbalik itu, selain pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, sebagai sebahagian langkah bijak menghubungkan rakyat.

Justeru, katanya, usaha pembangunan secara menyeluruh dilakukan seperti membina institut pengajian tinggi, projek lot komersial dan prasarana lebih baik di kawasan luar bandar tidak boleh dipandang ringan supaya matlamat itu tercapai.

Sementara itu, pada sidang medianya, Ahmad Zahid berkata, pendekatan sebelum ini menjurus kepada membangunkan kawasan bandar dan pinggir bandar termasuk menggalakkan penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar dengan menyediakan beberapa projek perumahan awam.

"Suatu ketika, banyak rumah setinggan di kawasan bandar (akibat proses penghijrahan itu). Menyedari proses itu harus ditukar, maka pendekatan transformasi kerajaan adalah menaik taraf prasarana luar bandar, bukan hanya membina jalan luar bandar, tetapi membina lebuh raya yang menjadi penghubung antara bandar dan negeri," katanya.

Beliau berkata, jalan di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk sering menjadi laluan alternatif penduduk dari utara ke selatan atau sebaliknya terutama ketika musim perayaan apabila lebuh raya sedia ada tidak dapat menampung pertambahan kenderaan di jalan raya.

"Justeru, apabila projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang turut membabitkan daerah Bagan Datuk siap kelak, ia menjadi alternatif terbaik bagi mengelak berlaku kesesakan, bukan hanya di musim perayaan tetapi kerajaan merancang aktiviti ekonomi terutama industri diwujudkan sepanjang jajaran lebuh raya itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata, ia turut membabitkan galakan pembinaan projek perumahan dan lot komersial serta pembinaan institusi pendidikan yang menjadi sebahagian proses urbanisasi berbalik.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Laluan FT069 dari Simpang Hutan Melintang ke Parit 19 Daerah Bagan Datuk. - Foto L Manimaran
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Laluan FT069 dari Simpang Hutan Melintang ke Parit 19 Daerah Bagan Datuk. - Foto L Manimaran
Berita Harian X