Selasa, 1 Mei 2018 | 4:49pm

Peluang Hadi menang saman Sarawak Report besar

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mempunyai peluang besar untuk menang kes saman fitnah terhadap laporan Sarawak Report yang sesi pendengaran dilakukan di Mahkamah Tinggi London.

HADI mempunyai peluang besar untuk menang kes saman fitnah terhadap laporan Sarawak Report. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
HADI mempunyai peluang besar untuk menang kes saman fitnah terhadap laporan Sarawak Report. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Peguam Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia berdasarkan keputusan mahkamah itu semalam, yang menolak kira-kira 50 muka surat daripada 55 muka surat penyataan pembelaan editor penerbitan itu, Clare Rewcastle-Brown.

Sehubungan itu, beliau yakin 70 peratus saman fitnah terhadap penerbitan terbabit akan berpihak kepada Abdul Hadi.

"Kini hanya tinggal 30 peratus yang akan diputuskan di mahkamah apabila perbicaraan seterusnya dijadualkan pada April tahun depan.

"Peluang Tuan Guru Presiden PAS untuk menang saman ini, sekali gus membersihkan namanya sangat besar," katanya ketika sidang media khas di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di London memerintahkan defendan membayar STG41,400 (RM227,700) kepada Abdul Hadi sebagai kos bayaran guaman yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan selama 12 hari mulai April 2019.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 lalu berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Takiyuddin berkata, sesi pendengaran kes itu semalam berlangsung empat jam sebelum mahkamah dengan rasminya menolak sebahagian besar penyataan pembelaan yang dibuat Rewcastle-Brown.

"Rewcastle-Brown juga secara rasminya meninggalkan permohonannya untuk meminda pembelaan 'kebenaran' beliau bagi menggunakan rakaman audio satu kenyataan yang didakwa dibuat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz.

"Mahkamah juga menolak cubaan memperlewatkan dengan memohon perintah mahkamah supaya diadakan perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama ada pembaca Sarawak Report memahami artikel berkaitan adalah merujuk kepada Abdul Hadi.

"Pasukan peguam kita menolak cadangan defendan itu yang dilihat hanyalah sebagai cubaan untuk lari daripada membawa isu sebenar kes dalam perbicaraan," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam kenyataannya yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.

"Ia menjadi kemenangan moral kepada pihaknya dan juga ahli PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kanan) menunjukkan dokumen berkaitan saman fitnah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang ke atas Sarawak Report pada sidang media di Pejabat PAS, Masjid Rusila, di Marang, hari ini. - Foto Ghazali Kori
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kanan) menunjukkan dokumen berkaitan saman fitnah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang ke atas Sarawak Report pada sidang media di Pejabat PAS, Masjid Rusila, di Marang, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Info
Kes membabitkan tuduhan berita portal Sarawak Report (SR)

2 Mac 2018

- Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, menafikan artikel SR pada 2 Mac lalu yang antara lain mendakwa agensi itu pernah bersetuju melabur dalam syarikat Ladylaw Securities Pte Ltd.

2 Mac 2018

- RHB Banking Group (RHB) menyangkal dakwaan SR di Facebook dan laman web portal tuduhan mendakwa sejumlah besar wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipindahkan pada Januari ke dalam akaun dolar RHB di bawah nama entiti kurang dikenali, TJJR Diversified (M) Sdn Bhd. syarikat milik seorang wanita yang juga pengarah, didakwa menyelaras sebuah projek hospital besar dengan disokong KWSP dan Kementerian Kesihatan.

28 Februari 2018

- KWSP menafikan dakwaan bahawa ia mempunyai transaksi atau mempertimbangkan sebarang perjanjian dengan Limage Holdings SA, Limage Southwest Holdings, individu yang dikenali sebagai Mr Matrai atau sebarang pihak yang dinyatakan oleh SR. Tiada sebarang pemindahan bon atau dana seumpamanya kepada semua syarikat itu.

11 Jun 2017

- Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, membidas laporan SR yang mendakwa peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik sebagai ketua pendakwa raya menerima bayaran RM9.5 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

26 April 2016

- Anak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memiliki perniagaan menjual dan membaiki senjata tidak pernah mendapat sebarang tender bekalan bahan berkenaan daripada kerajaan, mahupun pasukan polis seperti dilaporkan SR.

23 Julai 2015

- Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mengaku bertemu dengan Pengasas dan Pengarang SR, Clare Rewcastle-Brown, di beberapa lokasi seperti Singapura, Indonesia dan London.

21 Julai 2015

- Hampir 90 peratus kandungan laporan SR mengenai 1MDB didakwa diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri didedahkan bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi.

20 Julai 2015

- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat sementara laman sesawang SR http://www.sarawakreport.org kerana boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.

15 Julai 2015

- Akhbar New Straits Times (NST) melaporkan kenyataan bekas pengarang SR, Lester Melanyi mendakwa Clare Rewcastle Brown memalsukan beberapa dokumen untuk memfitnah 1MDB dan Najib menerusi beberapa pendedahan portal berita itu. Beberapa ahli politik pembangkang turut dinamakan.

27 Jun 2015

- Firma keselamatan siber, Protection Group International (PGI) mendedahkan bukti jelas kecurian data sulit PetroSaudi secara sistematik oleh bekas kakitangannya, Xavier Andre Justo. Siasatan juga mendapati sebahagian besar data itu kemudian diubah dan ditokok tambah sebelum disiarkan menerusi blog SR.

29 May 2015

- Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menafikan mengemukakan penyata bank palsu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) seperti yang dilaporkan oleh SR.

1 Ogos 2015

- Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata kertas pertuduhan yang disiarkan SR tidak pernah berada atau sampai di Pejabat Peguam Negara dan sifatkan dakwaan kertas pertuduhan itu konspirasi untuk jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menjadikan beliau sebagai penjenayah menggunakan kaedah termasuk memalsukan dan kebocoran jenayah.

3 September 2014

- Ahli perniagaan Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mendakwa pendedahan mengenai harta miliknya dalam kes mutaah bernilai RM100 juta yang difailkan bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid adalah konspirasi politik pembangkang bertujuan memburukkan nama dan keluarganya yang turut dikaitkan dengan Rewcastle-Brown.

Berita Harian X