Selasa, 1 Mei 2018 | 5:12pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan anugerah Tokoh Pekerja Negara, Orang Kurang Upaya (OKU), Dr Naziaty Mohd Yaacob pada Sambutan Hari Pekerja di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pensyarah Tokoh Pekerja Negara OKU

KUALA LUMPUR: Pensyarah Universiti Malaya (UM) yang berjuang membela nasib golongan kurang upaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara kategori Orang Kurang Upaya (OKU) pada sambutan Hari Pekerja 2018.

Pensyarah Fakulti Alam Bina, Prof Madya Dr Naziaty Mohd Yaacob, 56, berterima kasih kepada kerajaan atas pengiktirafan diberikan membuktikan golongan OKU juga boleh berjaya seperti mereka yang normal.

Menurutnya, sokongan kerajaan banyak membantu beliau dalam menjalankan kerja sosial kepada golongan OKU.

"Saya mengusahakan entiti perniagaan memfokus kepada reka bentuk universal membolehkan kita mencipta produk yang boleh diakses OKU di tempat awam.

"Kita juga pernah menyumbang idea untuk kemudahan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

"Selain idea, kita turut menyediakan peralatan dan kandungan latihan kepada badan kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya selepas menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Dalam pada itu, Dr Naziaty menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda OKU dalam sektor awam dan swasta.

"Berilah peluang kepada mereka untuk turut sama-sama merasai pengalaman bekerja dalam semua sektor," katanya.

Sementara itu, inisiatif kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan Program Return To Work (RTW) berjaya membantu pekerja hilang upaya kembali bekerja.

Ibu tunggal, Krishnammal, 47, yang bekerja sebagai kerani stor di Shamelin, Cheras, berkata beliau mulanya gusar kemungkinan hilang pekerjaan apabila sebelah kakinya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat kencing manis pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dengan bantuan kerajaan beliau diberikan kaki palsu serta latihan selama tiga bulan menerusi program berkenaan sebelum kembali bekerja dengan majikan asal.

"Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memperkenalkan idea ini untuk membantu golongan kurang upaya seperti saya kembali bekerja.

"Tanpa bantuan ini, saya mungkin tidak dapat bekerja dan menyara keluarga," katanya yang mempunyai tiga anak.

RTW adalah program pemulihan fizikal untuk Orang Berinsurans PERKESO yang hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit bagi mengembalikan fungsi anggota badan seterusnya dapat kembali bekerja lebih awal, sihat dan selamat.

Berita Harian X