Jumaat, 4 Mei 2018 | 4:09pm
Mohd Nazri Mansor, 35 dan Zulaikha Draman, 35, menunjukkan uniform pengawas sekolah Syamil yang tidak sempat dipakai kerana baru dilantik tahun ini dan tidak dapat ke sekolah kerana terlantar sakit di rumahnya di Kampung Banggol, Permaisuri, Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Syamil anugerah terindah

PERMAISURI: "Mungkin Allah mahu tegur dengan cara menghantar Syamil ke dunia ini supaya kami lebih tekun beribadat kepadaNya," kata Mohd Nazri Mansor, 35.

Mohd Nazri adalah bapa kepada pesakit kanser otak tahap empat yang meninggal dunia jam 1.34 petang semalam di Hospital Setiu.

Syamil Nur Iman Mohd Nazri, 10, bertarung nyawa melawan penyakit berkenaan sejak Januari lalu.

Harian Metro 31 Mac lalu melaporkan mengenai impian Syamil yang mahu menetap di Makkah kerana mudah untuk membawa keluarga terutamanya ibunya, Zulaikha Draman, 35, mengerjakan umrah.

Mohd Nazri yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya berkata, anak sulung dari empat beradik dan satunya anak lelaki tunggal itu dimasukkan ke Hospital Setiu pada 1 Mei selepas mengalami sesak nafas.

"Keadaan kesihatan Syamil juga semakin merosot sepanjang bulan lalu apabila dua kali dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan dua kali ke Hospital Setiu," katanya yang ditemui di Kampung Banggol, di sini, hari ini.

Katanya, pemergian Syamil yang pernah mendapat Naib Johan Hafazan peringkat negeri Terengganu 2017 kategori sekolah rendah itu amat dirasai kerana dia anak yang taat, berdisiplin, tepati waktu, boleh diharap dan sangat menjaga solat sejak berumur tujuh tahun.


Syamil Nur Iman Mohd Nazri, 10, yang bertarung nyawa melawan penyakit kanser otak tahap empat sejak Januari lalu disahkan meninggal dunia pada jam 1.34 petang semalam (Khamis) di Hospital Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

"Saya kerap membawanya ke masjid sejak berusia empat tahun dan dia sering menjadi imam pada adik-adiknya setiap kali bersolat di rumah.

"Kadang kala dia yang ingatkan saya supaya segera melaksanakan solat apabila masuk waktu walaupun ketika itu baru ingin berehat sebentar setelah pulang dari kerja.

"Syamil juga sering mengingatkan adiknya supaya menutup aurat dengan sempurna apabila ada tetamu berkunjung ke rumah walaupun adiknya masih kecil selain segera meminta ditutup semua pintu apabila menjelang Maghrib," katanya.

Sementara itu, Zulaikha berkata, ada orang persendirian mahu menaja Syamil dan suami menunaikan umrah bagi memenuhi impiannya tetapi terpaksa ditolak kerana kesihatan arwah anaknya itu masih belum pulih sepenuhnya.

"Sehari sebelum dimasukkan ke wad pada Selasa lalu, dia masih boleh memanggil ummi dan abi serta meminta sesuatu dengan menggunakan kad huruf untuk memudahkan kami faham.

"Namun saya sudah berasa lain apabila malam pertama di wad Syamil kelihatan lemah sewaktu bersolat secara baring, tidak mampu menarik sebelah tangan lagi seperti biasa dan dia cuba angkat tangan waktu solat tetapi jadi lembik.

"Dia anak yang sangat mementingkan solat walaupun dalam keadaan terlantar sakit, paling saya sebak pagi esoknya sewaktu azan Subuh, dia seperti minta untuk bersolat tetapi keadaannya terlalu lemah dan saya minta supaya qada solat, selepas itu baru dia diam," katanya.

Zulaikha yang juga pensyarah kejururawatan di Kolej Universiti Bestari (UCB) berkata, ketika Syamil masih sihat, dia pernah menangis sepenuh hati sekiranya terlepas waktu solat terutamanya Subuh.

Katanya, anaknya itu juga mula menghafal surah ketika berusia empat tahun dan berjaya menghafal satu juzuk ketika enam tahun.

"Walaupun dalam keadaan sakit, dia masih mampu menghafal dengan menyambung ayat yang suami bacakan contohnya surah Yasin biarpun sebutan tidak lagi jelas kesan daripada kanser tetapi ingatannya tetap kuat.

"Beberapa minggu kebelakangan ini dia hanya bergantung kepada susu kerana sudah tidak mampu makan seperti biasa dan sering muntah," katanya.

Syamil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol kira-kira jam 6 petang, semalam.

Berita Harian X