Ahad, 6 Mei 2018 | 2:56pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan replika kunci Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) kepada Mohd Azli Mohd Kharudin, sambil diperhatikan Tan Sri Dr Ali Hamsa (kanan) di Bandar Dato Onn, JOHOR BAHRU. - NSTP/ZAIN AHMED

1,000 unit MyHome pertama siap di Johor

JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,000 unit kediaman di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) Bandar Dato' Onn di sini, menjadi projek pertama siap di negara ini dan boleh diduduki.

Majlis penyerahan kunci kepada 1,000 pemilik MyHome Bandar Dato' Onn disempurnakan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini, hari ini.

MyHome Bandar Dato' Onn dibangunkan Johor Land Bhd (JLand), syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp) yang memulakan pembinaannya pada Ogos 2014 membabitkan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM172 juta.

Mohamed Khaled berkata, harga jualan kediaman MyHome Bandar Dato' Onn itu adalah bernilai RM172,000, bagaimanapun Johor Corporation (JCorp) memberi subsidi bernilai RM73,000.

"Kemudian Kerajaan Persekutuan menerusi skim MyHome akan memberikan insentif berjumlah RM30,000 dan penerima hanya perlu membayar RM69,000 sahaja daripada RM172,000 bagi seunit rumah.

"Sebanyak 2,228 unit rumah ditawarkan Skim MyHome di Johor dan 1,000 daripadanya di bawah projek ini dan Bandar Dato' Onn adalah projek pertama siap dibina untuk semua projek perumahan yang mendapat sumbangan Skim MyHome," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci Skim MyHome Bandar Dato' Onn, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara yang juga Timbalan Pengerusi Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Dr Ali Hamsa, Setiausaha Kerajaan Johor; Datuk Azmi Rohani; Ketua Pengarah Perumahan Negara, K Jayaselan serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled berkata, baki 1,228 rumah yang ditawarkan menerusi Skim MyHome di Johor antara lain di Bandar Tiram, Bandar Cemerlang di Ulu Tiram, Taman Dato' Chellam dan Teluk Jawa di Pasir Gudang.

Setiap unit kediaman MyHome Bandar Dato' Onn dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan, dan dapur serta dilengkapi dengan kabinet dapur dan kemasan jubin di setiap bilik serta ruang tamu.

Berita Harian X