Isnin, 7 Mei 2018 | 8:29pm
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pra-pelepasan jemaah haji di KLIA tahun ini

PUTRAJAYA: Inisiatif Program Pra-Pelepasan Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dilaksanakan kepada seramai 36,480 jemaah haji Malaysia tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata melalui inisiatif itu pengambilan cap jari serta semakan data jemaah haji Malaysia akan dilaksanakan di KLIA dan data berkenaan akan disalurkan ke pangkalan sistem haji Arab Saudi.

Beliau berkata, objektif utama inisiatif itu untuk mempermudah dan mempercepat proses kemasukan jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, sekali gus menambah baik prosedur sedia ada bagi menghadapi bilangan kemasukan jemaah haji yang tinggi di Arab Saudi.

"Malaysia adalah negara pertama di dunia terpilih sebagai perintis bagi program ini. Perbincangan mengenai inisiatif ini diadakan di Jabatan Imigresen hari ini dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Imigresen dan Jawatankuasa Agung Haji Arab Saudi, Mejar Jeneral Mubarak Almuwina.

"Yang turut hadir adalah delegasi dari Kerajaan Arab Saudi, Lembaga Tabung Haji, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, dalam pertemuan itu, Kerajaan Arab Saudi memaklumkan mengenai pelaksanaan Proof of Concept (POC) sistem pemeriksaan awal bagi jemaah haji bermula tahun ini.

"Kelebihan inisiatif ini antara lain adalah mempercepatkan jemaah dari segi masa menunggu pelepasan di KLIA dan ketibaan di Jeddah yang mana sistem haji di Jeddah dapat mengakses dan mengesahkan maklumat cap jari, visa, rekod kesihatan dan maklumat ejen yang berdaftar.

"Selain itu, Kedutaan Arab Saudi juga menjanjikan kemudahan penghantaran bagasi ke tempat penginapan jemaah haji dan mereka tidak perlu lagi menunggu bagasi di lapangan terbang, sebaliknya boleh terus ke tempat penginapan masing-masing.

"Kemudahan ini tertakluk hanya kepada jemaah haji yang menggunakan program Muassasah dan hanya melalui KLIA yang menaiki penerbangan khas ke Jeddah dan dijangka 88 kapal terbang akan terbabit dengan inisiatif ini," katanya.

Beliau menjelaskan, sistem pra-pelepasan jemaah haji itu pernah diujicuba membabitkan seramai kira-kira 1,650 jemaah haji Malaysia pada tahun lalu.

"Kerajaan Malaysia berharap agar kerjasama seumpama ini dapat diteruskan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X