Rabu, 9 Mei 2018 | 12:30pm
NORAZIAH Omar ditemani anaknya untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II, walaupun masih dalam tempoh berpantang bersalin. - Foto Hanneyzah Bariah Baharin
NORAZIAH Omar ditemani anaknya untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II, walaupun masih dalam tempoh berpantang bersalin. - Foto Hanneyzah Bariah Baharin

Ibu pantang bersalin tidak mahu terlepas mengundi

KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah yang sedang pantang bersalin, tetap menggagahkan diri ke pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Noraziah Omar, 45, yang berpantang hari ke-29 selepas melahirkan anak ketujuh, berkata dirinya tidak mahu dihantui perasaan bersalah jika gagal mengundi.

"Alhamdulillah, selesai tanggungjawab saya kepada negara, hari ini.

"Saya tinggalkan sekejap bayi bersama suami, Mohd Mazly Ibrahim, 46, dan meminta anak perempuan menemani saya mengundi.

"Selepas ini, saya pula akan menjaga anak dan suami pergi mengundi," katanya ketika ditemui di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman II, di sini, pagi tadi.

Sementara itu warga emas berkerusi roda dari Batu Buruk, Osman Abdullah, 85, menjadi antara paling awal tiba di pusat mengundi berkenaan untuk menunaikan tanggungjawab berkenaan.

"Pak cik sudah tidak larat, sakit tua tetapi tetap mahu mengundi. Orang muda jangan mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Pak cik tidak ingat sudah berapa kali mengundi. Pak cik bersyukur Allah SWT masih mengurniakan kesihatan dan peluang untuk mengundi," katanya yang ditemani cucu, Ahmad Tarmimi Daud, 24.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X