Rabu, 9 Mei 2018 | 5:46pm
PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra meletakkan tabung dalam usaha mengumpul dana bagi kerja naik taraf dan memperbaiki tangga sekolah berkenaan.

Sedia tabung kutip dana

BANGI: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra, Bangi, memanfaatkan hari mengundi dengan meletakkan tabung dalam usaha mengumpul dana bagi kerja naik taraf dan memperbaiki tangga sekolah berkenaan.

Mantan Pengerusi PIBG, Mohammed Iqbal Ismail, berkata sebelum ini pihak pengurusan meletakkan tabung sumbangan ini di pasar malam dan kedai makan bagi mengumpul dana.

Katanya, sekiranya setiap pengundi dapat menyumbang RM1 setiap orang, usaha kami mengumpul dana sebanyak RM60,000 dapat dipercepatkan dan membolehkan pelajar belajar selesa.

"Sambil mengundi, orang ramai turut boleh bersedekah, apatah lagi Ramadan akan hadir tidak lama lagi," katanya.

Justeru, beliau berharap hari mengundi boleh dijadikan kesempatan orang ramai untuk turut menghulur sumbangan kewangan dalam tabung berkenaan.

Tabung itu diletakkan di situ sejak jam 8.30 pagi, dan akan diambil sebaik sahaja pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang.

Pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra adalah di bawah Dewan Undangan Negeri Semenyih dan ia antara persempadanan baharu yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRU14.

Sebelum ini , Bukit Mahkota, Bangi adalah di bawah Parlimen Serdang.

Berita Harian X