Selasa, 15 Mei 2018 | 11:10pm

Wartawan NSTP terima Anugerah Media Cetak AADK

KAJANG: Wartawan NSTP, Azrul Affandi Sobry, dinobatkan sebagai pemenang kategori Anugerah Media Cetak untuk artikel bersiri berkaitan dadah pada majlis Malam Citra Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di sini, malam ini.

Azrul Affandi memenangi kategori itu menerusi penulisan laporan khas bersiri modus operandi pengedaran dadah di sempadan Malaysia - Thailand dan perairan negara yang disiarkan pada 2016.

Pendedahan secara konsisten selama dua bulan sejak Julai 2016 itu membolehkan pihak berkuasa melaksanakan operasi besar-besaran di pintu pagar sempadan dan Kuala Kedah, dengan menahan individu terbabit dengan aktiviti pengedaran di situ.

Ketika ditemui, Azrul Affandi berkata, pendedahan itu dibuat ketika beliau bersama Unit Khas BH, yang mana satu kerjasama dengan AADK dirancang bagi membolehkan wartawan mendedahkan kegiatan pengedaran dadah membabitkan rakyat negara ini di Thailand.

"Bukan setakat itu, selama lapan hari di Kedah, kami memantau pergerakan aktiviti pengedaran dadah di Kuala Kedah, yang terkenal sebagai kawasan panas penagihan dadah.

"Bagaimanapun, tanpa kerjasama AADK, agak sukar pendedahan itu dibuat kerana penyamaran kami perlu ke peringkat pembuktian berlakunya aktiviti pengedaran di situ," katanya yang kini berkhidmat sebagai penerbit di Unit Multimedia NSTP.

Anugerah berprestij dalam bentuk sijil dan trofi itu disampaikan oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Pada majlis itu, Abd Halim turut menyampaikan tiga lagi anugerah pengiktirafan kepada media iaitu Anugerah Media Penyiaran (Televisyen), Anugerah Media Penyiaran (Radio) dan Anugerah Media Baharu.

Program 999 terbitan Media Prima Berhad menerima anugerah kategori Media Penyiaran (Televisyen), manakala Nasional FM untuk kategori Anugerah Media Penyiaran (Radio).

Wartawan dan pengacara program 999, Anim Ezati Md Khalid, hadir menerima anugerah berkenaan. Blogger Ben Ashaari pula menerima Anugerah Media Baharu.

Selain itu, 24 anugerah pelbagai kategori perkhidmatan cemerlang turut disampaikan kepada kakitangan AADK negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

KETUA Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin (kiri) menyampaikan Anugerah Media Cetak kepada wartawan NSTP, Azrul Affandi Sobry pada majlis Malam Citra Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di Kajang, malam ini. - Foto Supian Ahmad
KETUA Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin (kiri) menyampaikan Anugerah Media Cetak kepada wartawan NSTP, Azrul Affandi Sobry pada majlis Malam Citra Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di Kajang, malam ini. - Foto Supian Ahmad
Berita Harian X