Rabu, 16 Mei 2018 | 4:45pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Lebih banyak penyelewengan dalam 1MDB - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jelas wujud lebih banyak kesalahan dan penyelewengan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berbanding apa yang diketahui umum selama ini.

Perdana Menteri, berkata beliau sudah mendapat taklimat daripada polis, termasuk membaca laporan pengauditan yang sudah dikelaskan sebagai dokumen terbuka, kelmarin.

"Kita akan mengambil tindakan dan membuat laporan polis, apabila sampai tahap boleh membuat tangkapan, polis) akan tangkap mereka yang bersalah.

"Tiada beza di antara orang tertentu (pangkat dan kedudukan) untuk didakwa," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, dalam kenyataannya berkata, laporan pengauditan 1MDB yang pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016 kini sudah boleh dirujuk orang ramai.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk membawa pulang wang berkaitan 1MDB yang berada di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

"Sebab itu, kita hubungi negara-negara terbabit untuk kita dapatkan semula duit yang ada pada mereka. Kita buat kenyataan bahawa wang itu milik Malaysia dan 1MDB. Kita akan pohon wang itu dikembalikan.

"Jumlahnya agak besar dan ini akan menolong kita dalam menyelesaikan pelbagai jenis hutang," katanya.

Beliau berkata, jumlah sebenar keseluruhan wang berkenaan di luar negara masih belum dapat diketahui lagi tetapi di AS sahaja memiliki jumlah terbesar iaitu AS$4.5 bilion (RM18.83 bilion).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, terpulang kepada polis untuk memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.

Ditanya juga sama ada bukti mencukupi bagi mendakwa Najib, katanya, jika mempunyai bukti yang cukup, tindakan boleh diambil.

Ditanya sama ada Najib dikenakan tahanan rumah, Perdana Menteri berkata, Najib hanya tidak dibenarkan ke luar negara.

12480 dibaca
Berita Harian X