Rabu, 16 Mei 2018 | 11:39pm
LEBIH 15 buah kenderaan dan sebuah trak polis, memasuki perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dekat Taman Duta, Kuala Lumpur, malam ini.
KELIHATAN kenderaan polis di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residence Apartment, malam ini. - Foto Aswadi Alias
KELIHATAN kenderaan polis di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residence Apartment, malam ini. - Foto Aswadi Alias

Kediaman Najib 'diserbu' polis

KUALA LUMPUR: Lebih 15 buah kenderaan dan sebuah trak polis, memasuki perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dekat Taman Duta di sini, malam ini.

Enam buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan selebihnya kenderaan PROTON Preve tertera Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi dua kereta peronda serta dua motosikal polis, masuk ke perkarangan kediaman Najib, kira-kira jam 10.15 malam.

Pegawai dan anggota penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dipercayai terbabit dalam gerakan itu. Mereka dipercayai mahu mengesan bukti serta dokumen berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Trak polis yang terbabit turut dilihat membawa kotak-kotak yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi dokumen dan bahan bukti yang bakal diambil dalam gerakan terbabit.

Sehingga kini, Bukit Aman belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung gerakan yang dilakukan polis terhadap kediaman Najib itu.

Terdahulu, Najib menunaikan solat terawih di Masjid Kampung Baru sebelum pulang ke kediamannya kira-kira jam 9.50 malam, kira-kira 25 minit sebelum kediamannya dikunjungi rombongan polis terbabit.

Peguam Najib, Datuk Hasnal Rezua Merican, turut dilihat memasuki kediaman bekas Perdana Menteri, di Taman Duta bersama seorang wanita pada jam 11.05 malam, selain Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Pada masa sama, puluhan anggota dan beberapa pegawai kanan Bukit Aman kelihatan di kediaman peribadi Najib di Pavilion Residence Apartment Kuala Lumpur, malam ini.

Sementara itu, Pengarah jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh, mengesahkan pihaknya melakukan pencarian dokumen di beberapa lokasi kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan pencarian daripada aspek apa yang dilakukan polis.

"Saya boleh mengesahkan pasukan polis hadir ke kediaman bekas Perdana Menteri untuk membuat pencarian," katanya ketika dihubungi hari ini.

22980 dibaca
Berita Harian X