Khamis, 17 Mei 2018 | 3:51am

TERKINI: Barangan, dokumen dibawa keluar

KUALA LUMPUR: Polis merampas beberapa barang dan dokumen dipercayai dari kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residence di sini, sebentar tadi.

Barangan terbabit dipercayai hasil penggeledahan yang dilakukan polis sejak jam 10 malam tadi berkaitan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Pencarian barangan peribadi seperti beg, jam tangan, pakaian serta hadiah berjenama mewah dilakukan ke atas rumah yang didaftarkan atas nama anak lelaki Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Setakat jam 3 pagi tadi, anggota polis dilihat meninggalkan perkarangan Pavilion Residence bersama barangan yang dirampas.

Bagaimanapun pemeriksaan lanjut di dua lagi unit kediaman yang salah satunya dipercayai didaftarkan atas nama anak perempuan Najib dan Rosmah serta unit kediaman yang mempunyai kaitan dengan keluarga bekas Perdana Menteri itu gagal dibuat kerana ketiadaan penghuni.

Sumber berkata, pegawai dan anggota JSJK akan kembali ke lokasi berkenaan sebaik anak perempuan Najib dan Rosmah kembali dari luar negara dalam masa terdekat.

Semua barangan berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini.

Terdahulu, lebih 15 kenderaan dan trak polis turut dilihat memasuki pekarangan rumah Najib di Taman Duta di sini, jam 10.15 malam tadi.

Kumpulan pegawai dan anggota polis dipercayai melakukan serbuan serentak, dipercayai bagi mendapatkan bukti membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, ketika dihubungi mengesahkan serbuan ke atas rumah bekas Perdana Menteri, malam tadi.

Beliau memaklumkan serbuan berkenaan dilakukan untuk tujuan penggeledahan tetapi enggan mengulas lanjut.

39739 dibaca
Berita Harian X