Khamis, 17 Mei 2018 | 11:14am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Perubahan kepada pentadbiran Islam di Malaysia

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu akan membawa perubahan kepada pentadbiran agama Islam di Malaysia.

Kata beliau, tekanan akan diberi oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

"Umat Islam bukan sahaja akan memanfaatkan bulan puasa dengan melakukan ibadah seperti terawih dan pengajian al-Quran, tetapi perlu berusaha untuk memahami al-Quran dan bukan sahaja menghafal ayat-ayatnya.

"Al-Quran adalah panduan utama bagi umat Islam dan panduan yang tidak difahami tidak mungkin menjadi kita umat Islam yang berjaya.

"Sementara kita menghafal, kita juga perlu faham ajaran sebenar agama Islam," katanya dalam perutusan khas sempena bulan Ramadan menerusi catatan blog pertama beliau sejak dilantik sebagai perdana menteri.

Menerusi perutusan berkenaan, Dr Mahathir turut melahirkan kesyukuran kerana keputusan pilihan raya tidak membawa kepada kekacauan seperti "di sesetengah negara lain", selain merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan.

"Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.

"Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman ini," katanya.

Sementara itu, sebelum hari pengundian pada 9 Mei, Dr Mahathir turut mengutus beberapa surat terbuka kepada pasukan keselamatan, termasuk kepada pegawai tinggi tentera.

Dalam surat berkenaan, beliau meminta mereka membenarkan anggota masing-masing memilih kerajaan tanpa paksaan dan tekanan, di samping bersikap neutral.

36088 dibaca
Berita Harian X