Khamis, 17 Mei 2018 | 12:48pm
Kementerian Kewangan (MoF).

Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan diperkenalkan semula

PUTRAJAYA: Pengurangan hasil daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar mulai 1 Jun ini akan ditampung oleh langkah khusus hasil dan perbelanjaan yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan, program pembaharuan fiskal sedang dalam pelaksanaan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula.

Katanya, pengurangan perbelanjaan akan dimulakan dengan langkah rasionalisasi dan efisiensi serta mengurangkan ketirisan.

"Selain itu, harga minyak mentah dunia sudah meningkat ketara berbanding anggaran Bajet 2018 iaitu AS$52 satu tong.

"Ini akan menyediakan ruang fiskal dalam tempoh terdekat. Tanggungjawab fiskal, ketelusan dan tadbir urus akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan program pembaharuan fiskal," katanya di sini, hari ini.

Semalam, MoF mengumumkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia serta diimport yang dikenakan GST pada kadar enam peratus ketika ini akan dikenakan GST pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini.

Langkah pengenaan GST pada kadar sifar itu akan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak.

3530 dibaca
Berita Harian X