Khamis, 17 Mei 2018 | 3:27pm
DATUK Seri Mohd Shukri Abdull diumumkan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. - Foto BERNAMA

Shukri Abdull kembali ke SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, hari ini diumumkan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang membuat pengumuman itu, berkata beliau akan menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan SPRM Isnin lalu dan melapor diri untuk bertugas di Pejabat Peguam Negara pada hari berikutnya.

"Mohd Shukri dilantik menerajui SPRM kerana mempunyai kredibiliti, selain menunjukkan tentangan kepada Datuk Seri Najib Razak (dalam siasatan berkaitan rasuah) sebelum ini dan beliau juga berpengalaman serta mempunyai banyak maklumat.

"Selain itu, kita juga sedang mempertimbangkan peranan yang boleh dimainkan oleh Tan Sri Abu Kassim (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM) kerana beliau juga banyak kepakaran dan tahu mengenai kesalahan yang dilakukan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tambah Perdana Menteri, keputusan melantik Mohd Shukri itu masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Mohd Shukri sebelum ini bersara wajib daripada SPRM pada 4 Oktober 2016 apabila mencapai usia 56 tahun dan digantikan Datuk Azam Baki, yang sebelum itu memegang jawatan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

9446 dibaca
Berita Harian X