Jumaat, 18 Mei 2018 | 12:39am
KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Reuters

Dua kali Najib menelefon Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digambarkan sebagai kecewa pada malam Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu lalu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Najib menghubunginya sebanyak dua kali bagi mendapatkan nasihat susulan kekalahan BN pada malam itu.

"Apabila beliau (Najib) menelefon pada malam pilihan raya lalu, saya menasihatkannya sebagai sahabat supaya menerima (kekalahan) dan meneruskan hidup," katanya ketika ditemubual Reuters di kediamannya di sini.

Anwar berkata, beliau meminta Najib supaya segera membuat kenyataan bagi mengelak dilihat cuba melengahkan proses peralihan kuasa.

Bagaimanapun, katanya, Najib tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kemenangan PH pada malam itu.

Pada sidang media sehari selepas PRU-14, Najib berkata tiada parti yang memperoleh majoriti mudah dan memberi kepercayaan kepada Yang di Pertuan Agong untuk menggunakan budi bicara baginda memilih Perdana Menteri baharu.

"Beliau (Najib) keliru... beliau enggan menerima kenyataan (kekalahan BN)," kata Anwar yang dibebaskan daripada hukuman penjara akibat kesalahan liwat selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Anwar berkata, Najib cuba memikirkan apa yang boleh dilakukannya dan siapa yang boleh menasihatkannya, malah beliau menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak pernah menawarkan sebarang perjanjian serius kepadanya.

"Jika sekalipun beliau menawarkan perjanjian, saya hanya akan mengabaikannya... saya hanya mendengar apa yang beliau katakan.

"Ketika panggilan kedua itu, Najib 'totally shattered' (bersedih)," katanya - Reuters.

74779 dibaca
Berita Harian X