Jumaat, 18 Mei 2018 | 11:33am

GST sifar peratus, harga barang turun lebih 6 peratus

KUALA LUMPUR: Tiada kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun depan dijangka menurunkan harga barang lebih enam peratus.

Pakar Percukaian Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai, berkata peniaga boleh menuntut semula cukai GST dengan kadar sifar peratus melalui cukai kredit untuk semua jenis cukai input dan belian kos operasi perniagaan.

"Peniaga boleh mengurangkan kos operasi dan menurunkan harga barang kepada enam peratus atau lebih, bergantung kos boleh dijimatkan peniaga.

"Langkah mengekalkan GST pada kadar sifar peratus juga baik kepada peniaga kerana sebelum ini, mereka terpaksa melabur untuk melaksanakan sistem cukai kepenggunaan.

"Kalau dimansuh (GST) mungkin peniaga akan memberontak dan minta pampasan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan GST sifar peratus bermula 1 Jun ini, dalam usaha melaksanakan janji 100 hari manifesto parti gabungan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan akan melaksanakan program pembaharuan fiskal dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, kerajaan mempunyai dua pilihan percukaian iaitu cukai untuk meningkatkan hasil pendapatan negara atau meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan memilih cukai yang boleh menurunkan harga barang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kuasa beli rakyat terutama dalam kelompok B40 serta miskin bandar.

"Jadi, kerajaan pilih kurangkan beban pembayar cukai (pengilang) untuk memastikan rakyat boleh menikmati kos sara hidup rendah. Soal hasil negara kecil atau besar tidak penting kepada urusan ekonomi negara.

"GST sifar peratus adalah untuk bantu pengguna. Kerajaan bermatlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memikirkan kesejahteraan rakyat lebih penting daripada tambahan hasil negara," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan kerajaan meningkatkan kadar GST pada masa depan, Barjoyai mengakui kerajaan boleh memutuskan untuk meneruskan GST pada satu kadar baharu.

"Kerajaan boleh putuskan menaikkan GST kerana ia tidak dimansuhkan, tetapi ia (GST) mungkin bukan keputusan popular buat masa ini kerana jumlah hasil negara yang diperlukan masih mencukupi. Jadi, kerajaan berpandangan tidak perlu mengutip cukai kepenggunaan ketika ini," katanya.

Mengulas harga minyak mentah dunia meningkat ketara kepada AS$70 setong berbanding anggaran Bajet 2018 iaitu AS$52 setong, Barjoyai berkata, kenaikan positif satu dolar minyak mentah menyumbang kepada tambahan RM3 bilion pendapatan negara.

"Diandaikan beza kenaikan harga minyak mentah dunia adalah 26 dolar. Jadi, kerajaan akan memperoleh hasil negara daripada sumber petroleum dianggarkan kira-kira RM78 bilion.

"Jumlah ini mengatasi hasil kutipan tahunan GST yang dianggarkan kira-kira RM43 bilion," katanya.

Berita Harian X