Isnin, 21 Mei 2018 | 10:32pm
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail keluar dari Menara Ilham. - Foto Eizairi Shamsudin

Pasukan Khas Siasatan 1MDB bermesyuarat esok

KUALA LUMPUR: Pasukan petugas khas yang baru ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengadakan mesyuarat pertamanya esok.

Ini disahkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mengetuai bersama pasukan petugas khas itu.

"Kami akan bermesyuarat esok. Kami akan bertemu dengan anda kemudian," katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan Ilham Tower di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Pasukan khas itu dianggotai oleh wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

Selain Gani, pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Terdahulu, Gani, Abu Kassim dan Mohd Shukri dilihat tiba di Ilham Tower pada jam 2 petang sebelum meninggalkan kawasan itu pada 3.30 petang.

Bangunan itu menjadi tumpuan kerana di situlah, Majlis Penasihat Kerajaan yang ditugaskan untuk menasihatkan kerajaan mengenai hal ehwal ekonomi dan kewangan, mengadakan mesyuarat dengan pegawai kanan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menjalankan tugasnya.

Majlis Penasihat Kerajaan pula menubuhkan jawatankuasa berasingan untuk menyiasat skandal 1MDB, diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, yang juga kelihatan berada di bangunan itu. - - BERNAMA

Berita Harian X